Boleh dikatakan yang peranti dari Samsung sememangnya popular dengan masalah skrin. Antara masalah yang pernah dilaporkan adalah seperti burn-in, garisan hijau atau light saber dan sebagainya.
Terbaru, sejumlah pengguna Galaxy S24 Ultra dilaporkan menghadapi masalah skrin. Melalui perkongsian di Reddit dan komuniti Samsung US, pengguna menyatakan skrin peranti tiba-tiba mengeluarkan garisan hijau secara menegak. Terdapat juga pengguna melaporkan masalah yang hampir sama tetapi keluar garisan putih secara melintang.
Menurut pengguna, peranti tidak pernah terjatuh atau mengalami sebarang masalah kepanasan yang melampau. Selain itu, terdapat juga pengguna yang mengalami masalah sama selepas beberapa hari menggunakannya.
Buat masa ini, jumlah pengguna yang melaporkan masalah ini masih lagi rendah. Tidak dapat dipastikan, adakah masalah ini berkaitan dengan perkakasan atau perisian. Samsung belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai masalah ini.
Masalah skrin tidak hanya terjadi kepada Samsung sahaja. Sebelum ini, OnePlus, Apple dan realme turut mengalami masalah yang sama.