Redmi A3 yang telah diperkenalkan semalam dilaporkan telah dikesan melepasi pengesahan SIRIM Malaysia. Sekaligus memberikan bayangan yang peranti tersebut akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan dalam masa terdekat.
Menurut laporan, peranti tersebut telah dikesan di pangkalan data SIRIM dengan nombor model 23129RNG1X (Redmi A3). Peranti tersebut telah didaftarkan di bawah Xiaomi Technologies Malaysia Sdn Bhd pada 28 Disember tahun lalu.
Tiada sebarang maklumat mengenai spesifikasi yang dikongsi. Namun begitu, jika merujuk kepada spesifikasi yang diumumkan peranti ini akan dilengkapi dengan skrin LCD bersaiz 6.71-inci dengan paparan 90Hz. Dikuasakan dengan cip MediaTek Helio G36, kamera tunggal 8MP, bateri 5000mAh dan pengecasan jenis USB-C.
Buat masa ini, Xiaomi Malaysia tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai tarikh pelancaran dan ketersediaan untuk pasaran tempatan. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan perkembangan mengenai peranti ini.