Close

Ulasan Samsung Galaxy S24 – Telefon bersaiz kecil yang lengkap dan pintar

Pada ketika ini, boleh dikatakan yang peranti bersaiz kecil semakin dilupakan atau tidak banyak pilihan yang ada di pasaran ketika ini. Namun, berbeza dengan Samsung kerana masih lagi menawarkan peranti bersaiz kecil yang menarik melalui Galaxy S24.

Rekaan

Galaxy S24 hadir dengan rekaan yang hampir sama seperti model sebelumnya. Namun begitu, masih terdapat beberapa perubahan yang dibawakan oleh Samsung untuk menjadikan rekaan peranti lebih baik dari model sebelumnya.

Peranti ini tampil dengan rekaan yang lebih berkotak dengan rekaan sisi kini lebih rata menjadikan ia lebih selesa bila dipegang. Selain itu, Samsung kini menggunakan rekaan bingkai dan panel belakang dengan kemasan jenis kesat yang memberikan cengkaman yang lebih baik. Secara peribadi, kami sememangnya menyukai kemasan jenis kesat kerana ia kurang meninggalkan kesan cap jari.

Namun begitu, Galaxy S24 terasa sedikit licin apabila dipegang berikutan itu kami sarankan anda untuk menggunakannya bersama kerangka pelindung. Galaxy S24 turut tampil dengan binaan yang lebih baik melalui Armor Aluminium. Binaan ini menggunakan aluminium dari gred angkasa dan dikatakan lebih ringan daripada stainless steel. Tidak ketinggalan, ia turut mempunyai penarafan IP68 dan tampil dengan pilihan warna yang menarik.

Biarpun dengan perubahan rekaan yang sedikit namun Samsung berjaya membawakan perbezaan yang agak ketara dari segi saiz skrin, binaan dan kemasan berbanding model sebelumnya. Walaubagaimanapun, kami mengharapkan sesuatu yang lebih menarik dilakukan oleh Samsung pada Galaxy S24.

Skrin

Galaxy S24 hadir dengan skrin Dynamic AMOLED 2X bersaiz 6.2-inci dengan resolusi FHD+. Peningkatan paling menarik pada skrin peranti adalah ia kini menggunakan paparan 120Hz yang lebih dinamik dan lebih cekap kuasa. Turut menyokong kecerahan puncak 2600 nits yang memberikan penggunaan yang lebih baik di bawah matahari dengan setiap kandungan dapat dilihat dengan terang dan jelas.

Selain itu, rekaan bingkai skrin kini lebih nipis dan lebih simetri pada semua sisi berbanding model sebelumnya. Sekaligus, ia memberikan pengalaman skrin yang lebih baik. Rekaan bingkai yang lebih nipis memainkan peranan penting dalam memberikan kepuasan kepada pengguna yang menyukai peranti bersaiz kecil dan kompak.

Tidak ketinggalan, peranti ni turut dilengkapi dengan fungsi Vision Booster yang memastikan kandungan yang dipaparkan kekal tajam dan terperinci. Secara keseluruhan, skrin pada Galaxy S24 sememangnya cemerlang dengan warna yang dihasilkan sangat baik, sudut pandangan jelas dan juga responsif.

Prestasi

Untuk pasaran Malaysia, Galaxy S24 dijana dengan cip Exynos 2400 dibina dengan teknologi 4nm. Turut menyokong teknologi RAM LPDDR5X dan storan UFS 4.0. Keupayaan dan kemampuan cip pada Galaxy S24 ini boleh dikatakan sedikit mengujakan.

Sepanjang penggunaan kami, tiada sebarang masalah berkenaan dengan prestasi yang kami hadapi. Prestasi yang ditawarkan cip ini sangat memberangsangkan. Semua tugasan dapat dijalankan dengan sangat lancar tanpa sebarang masalah. Selain itu, kebanyakkan permainan boleh dimainkan pada tetapan grafik yang tinggi.

Kami tidak menjumpai sebarang masalah kepanasan yang melampau pada Galaxy S24. Ini kerana Samsung menggunakan sistem penyejukan yang lebih baik dan lebih besar sekaligus menjadikan suhu peranti sentiasa berada di paras yang optimum. Apa yang boleh dirumuskan, kemampuan prestasi pada Galaxy S24 sememangnya menggujakan tidak kira untuk penggunaan biasa atau penggunaan yang lebih berat.

Sistem operasi

Perkara yang paling menarik mengenai Galaxy S24 semestinya adalah Galaxy AI. Yang mana, ia menawarkan pelbagai fungsi menarik yang membantu pengguna untuk meningkatkan tahap kreativiti dan produktiviti dalam kehidupan seharian.

Tidak dinafikan yang Galaxy AI sememangnya sangat membantu dalam pelbagai perkara. Fungsi yang kerap kami gunakan adalah seperti Circle to Search, Note assist dan AI Photo editing. Terdapat juga beberapa fungsi lain yang turut dibawakan oleh Galaxy AI seperti Call, Chat assist, live translate dan banyak lagi.

hanya mempunyai Galaxy AI yang hebat, Galaxy S24 ini turut menjalankan sistem operasi terkini iaitu Android 14 dengan antara muka One UI 6.1. Sistem operasi ini masih mengekalkan rekaan yang minimalis dan mudah untuk dikendalikan. Samsung turut menjanjikan kemas kini yang lebih panjang iaitu sehingga 7 tahun yang merangkumi kemas kini Android dan juga kemas kini keselamatan.

Kamera

Untuk fotografi, Galaxy S24 hadir dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama sebesar 50MP OIS +10MP telefoto OIS +12MP ultra lebar. Untuk swafoto ia hadir dengan sensor sebesar 12MP. Samsung masih mengekalkan konfigurasi kamera yang sama namun ia menawarkan kemampuan yang lebih baik berbanding model sebelumnya.

Pada percubaan kami, hasil imej yang diberikan melalui kamera peranti ini sangat baik biarpun dalam pelbagai keadaan dan situasi. Selain itu, keupayaan shutter kamera kini lebih pantas dan lebih cepat untuk mengesan subjek atau objek. Sekaligus memberikan pengalaman point and shoot yang lebih baik.

Untuk imej dengan cahaya yang cukup, peranti ini memberikan hasil imej yang baik dengan warna yang vibrant dan dapat mengekalkanperincian imej. Pada keadaan kurang cahaya, cenderung untuk menghasilkan imej dengan dynamic range yang lebih tinggi namun hasil imej yang diberikan masih lagi baik dan juga cerah.

Kemampuan kamera telefoto dan potrait pada Galaxy S24 juga baik dengan imej yang dihasilkan nampak lebih tajam, perincian dapat dikekalkan dan potongan bokeh lebih kemas. Terdapat juga pelbagai mod kamera yang turut tersedia seperti Expert RAW, Single Take, Nightography, Pro video dan lain-lain.

Kesimpulan

Jika memandang dari segi rekaan Galaxy S24 ini sememangnya mirip seperti model sebelumnya. Namun, selepas mencubanya sendiri terdapat perbezaan yang agak ketara berbanding Galaxy S23. Jadi benarlah apa yang dikatakan ‘don’t judge a book by its cover’.

Jadi, sekiranya anda mencari sebuah peranti bersaiz kecil yang lengkap dan bijak Galaxy S24 mungkin pilihan terbaik yang ada di pasaran ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN