Google telahpun melepaskan kemas kini Android 15 versi Beta 2 pada acara Google I/O 2024. Seiring dengan itu, HONOR turut mengumumkan kemas kini tersebut turut tersedia pada peranti andalan mereka iaitu Magic V2 dan Magic6 Pro.
Android 15 membawakan beberapa peningkatan dari segi prestasi, keselamatan dan juga privasi pengguna. Selain itu, ia turut hadir fungsi baru seperti Privacy Indicator, Privacy Sandbox dan juga Private Space. Ketiga-tiga fungsi ini membolehkan pengguna memantau dan menguruskan data privasi dengan lebih mudah dan lebih selamat.
Google turut menyatakan yang Android 15 akan menyokong keupayaan multitasking yang lebih efisien dan lebih lancar pada peranti dengan skrin besar. Pengunaan bateri juga dikatakan lebih cekap pada Android 15 dengan aplikasi yang tidak digunakan lebih daripada 6 jam akan dimatikan secara automatik.
Tidak ketinggalan, Android 15 turut dimuatkan dengan fungsi Android Dynamic Performance Framework (ADPF) yang menguruskan penggunaan kuasa yang intensif untuk aplikasi yang lebih berat seperti permainan dan sebagainya.
Sekiranya anda pengguna Magic V2 dan Magic6 Pro, anda kini boleh mencuba Android 15 versi Beta. Namun, harus diingatkan versi ini mungkin tidak berapa stabil untuk penggunaan harian.