Qualcomm secara rasmi memperkenalkan Snapdragon Dev Kit untuk Windows (2024). Snapdragon Dev Kit merupakan sebuah ‘compact form-factor PC’ khusus untuk pembangun bagi platform Microsoft. Sekaligus, memudahkan pembangun untuk mencipta atau mengoptimumkan aplikasi.
Snapdrgon Dev Kit dijana dengan cip terbaru dari Qualcomm iaitu Snapdragon X Elite yang mampu menghasilkan 45 TOPS NPU. Kemampuan cip ini membolehkan semua perisian dapat dioptimumkan sepenuhnya dalam masa yang sama ia turut dibantu dengan kecerdasan buatan (AI). Qualcomm mendakwa, Snapdragon Dev Kit ini mampu memberikan kuasa yang maksimum bersama dengan fleksibiliti yang diperlukan oleh pembangun.
Selain, siri cip Snapdragon X ini turut menyokong Qualcomm AI Hub yang membolehkan pembangun mengoptimumkan dan meningkatkan fleksibiliti model AI generatif yang dihasilkan oleh mereka sendiri. Melaluinya juga, ia dapat mempercepatkan lagi proses pembangunan dan penyesuaian.
Qualcomm AI Hub boleh dikatakan sebagai pintu masuk dalam membangunkan AI generatif dan menyokong lebih daripada 100 model AI yang telah dipra-optimumkan dan tersedia pada GitHub dan Hugging Face.
Secara keseluruhan, apa yang boleh dikatakan Qualcomm dilihat telah bersedia untuk memacu kecerdasan buatan (AI) pada masa akan datang melalui peranti ini. Di AS, Snapdragon Dev Kit ini dijual pada harga sekitar $899.99 (RM4225).