Samsung telahpun memperkenalkan fon lipat generasi baru mereka iaitu Galaxy Z Fold6. Seperti model sebelumnya, Samsung tidak membawakan perubahan yang ketara dan dilihat lebih memfokuskan kepada beberapa peningkatan sahaja. Berikutan itu, kami ingin berkongsi pandang pertama mengenai Galaxy Z Fold6.
Galaxy Z Fold6 masih lagi tampil dengan rekaan yang mewah dan premium. Secara keseluruhan tiada perubahan ketara yang dilakukan oleh Samsung. Namun begitu, terdapat beberapa perubahan kecil yang dibuat untuk menjadikan ia berbeza dari model sebelumnya.
Galaxy Z Fold6 kini menggunakan rekaan yang lebih berkotak dengan rekaan sisi jenis rata. Bukan itu sahaja, rekaan speaker turut diberi nafas baru sekaligus menjadikan ia nampak lebih minimalis. Mungkin boleh dikatakan, Samsung dilihat cuba menyeragamkan rekaan body sama seperti siri Galaxy S24.
Selain itu, Galaxy Z Fold6 lebih ringan dengan berat hanya 239gram. Dengan rekaan yang lebih ringan menjadikan ia lebih selesa ketika digunakan atau apabila dimasukkan dalam poket. Sebagai perbandingan, Galaxy Z Fold5 mempunyai berat 253gram iaitu 14gram lebih berat berbanding Galaxy Z Fold6.
Untuk skrin, Samsung hanya membuat perubahan pada skrin luar dengan saiz meningkat dari 6.2-inci kepada 6.3-inci. Peningkatan saiz ini menjadikan ia lebih ia sedikit lebih narrow dan lebih simetri. Secara peribadi, rekaan skrin luar ini memberikan rasa kurang selesa pada pertama kali menggunakannya. Namun, ia hanya sementara sebelum mula terbiasa menggunakannya. Selain itu, Samsung kekal menggunakan pelindung Gorilla Glass Victus 2 bukan Gorilla Glass Armor seperti yang digunakan pada Galaxy S24 Ultra.
Dari segi pilihan warna, Galaxy Z Fold6 hadir dengan 3 pilihan warna iaitu Shadow Silver, Pink dan Navy. Terdapat lagi 2 pilihan warna yang ditawarkan melalui Samsung Eksklusif iaitu Crafted Black dan White. Pada pendapat kami, Navy adalah warna yang menarik untuk Galaxy Z Fold6. Namun begitu, anda mungkin mempunyai pendapat yang berbeza.
Peranti ini dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy yang dipadankan dengan 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 1TB. Pada percubaan ringkas kami, peranti ini berjaya menjalankan tugas sangat baik tanpa sebarang masalah. Memandangkan ia adalah peranti andalan, semua aplikasi dan permainan dapat dijalankan dengan pantas dan lancar. Bateri 4400mAh dimuatkan yang menyokong pengecasan 25W yang mampu mengecas 0% ke 50% hanya dalam 30 minit sahaja.
Hadir dengan tetapan tri-kamera iaitu 50MP OIS + 12MP Ultra Lebar + 10MP Telefoto OIS dengan 3x zum optik. Manakala, untuk swafoto ia tampil dengan 4MP di bawah skrin untuk skrin utama dan 10MP untuk skrin kedua. Kami belum lagi dapat mencuba keupayaan penuh kamera peranti ini. Namun, kami sempat mengambil beberapa sampel gambar menggunakan kamera peranti ini.
Tidak ketinggalan, Galaxy Z Fold6 turut dimuatkan dengan pelbagai fungsi kecerdasan buatan yang dijana oleh Galaxy AI. Antaranya seperti chat assist composer, portrait studio, interpreter dan dan lain-lain. Selain itu, Samsung turut menambah baik fungsi S-Pen yang kini turut dijana dengan Galaxy AI.
Seperti siri Galaxy S24, Samsung turut menawarkan kemas kini sehingga 7 tahun untuk Galaxy Z Fold6 yang merangkumi kemas kini Android dan keselamatan. Selain itu, terdapat juga beberapa spesifikasi menarik yang turut dibawakan pada peranti ini seperti penarafan IP48, Bluetooth 5.3, NFC, pengimbas cap jari pada butang kuasa dan menjalankan sistem operasi One UI 6.1.1 berasaskan Android 14.