nubia Malaysia mengemas kini penawaran mereka untuk pasaran tempatan dengan memperkenalkan RedMagic 9S Pro. Hadir dengan peningkatan spesifikasi yang lebih berkuasa dan turut dimuatkan dengan fungsi kecerdasan buatan (AI).
RedMagic 9S Pro hadir dengan skrin AMOLED BOE bersaiz 6.8-inci dengan paparan 120Hz. Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 yang lebih berkuasa yang dipadankan dengan RAM sehingga 16GB LPDRR5X dan storan dalaman sehingga 512GB UFS 4.0.
Dilengkapi dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP OIS Samsung GN5 + 50MP lebar + 2MP Makro. Manakala untuk swafoto, ia dilengkapi dengan sensor 16MP yang diletakkan di bawah skrin. Dimuatkan dengan bateri 6500mAh yang menyokong pengecasan pantas 80W.
Selain itu, peranti ini turut dimuatkan dengan sistem penyejukan ICE 13.5 baharu dengan kipas terbina yang mampu berpusing sehingga 22,000 RPM. Turut dimuatkan dengan CUBE AI yang memastikan suhu peranti kekal optimum untuk memberikan pengalaman permainan yang lebih baik.
Spesifikasi lain yang turut ditawarkan adalah seperti bicu audio 3.5mm, NFC, pembesar suara jenis stereo , Wi-Fi 7, Bluetooth 5.3, IR Blaster, shoulder triggers 520Hz dan menjalankan Red Magic OS 9.0 berasaskan Android 14.
Di Malaysia, RedMagic 9S Pro dijual pada harga RM3699 untuk 12GB + 256GB dan RM3999 untuk 16GB + 512GB. Bagi yang berminat, peranti ini boleh dibeli pada harga diskaun RM500 bermula 25 Julai hingga 8 Ogos 2024. Selain itu, setiap pembelian akan menerima hadiah percuma kipas penyejuk REDMAGIC VC Cooler 5 Pro bernilai RM249.