Samsung Malaysia telahpun menawarkan fon lipat baru mereka iaitu Galaxy Z Flip6. Hadir dengan beberapa perubahan dan peningkatan untuk menjadikan ia lebih menarik dan lebih baik berbanding model sebelumnya.
Tiada perubahan ketara dari segi rekaan pada Galaxy Z Flip6. Secara keseluruhan, peranti ini masih lagi mengekalkan rekaan yang premium dan juga mewah. Namun begitu, terdapat beberapa perubahan yang dilakukan oleh Samsung untuk menjadikan ia lebih menarik dan menonjol berbanding model sebelumnya.
Dari segi rekaan, Samsung dilihat cuba menyeragamkan rekaan body sama seperti siri Galaxy S24, menggunakan rekaan lebih berkotak dan rekaan sisi jenis rata. Rekaan speaker turut diubah dengan menggunakan rekaan berbeza untuk menjadikan ia lebih minimalis. Tidak ketinggalan, modul kamera turut diberikan nafas baru mempunyai kemasan berwarna mengikut kepada pilihan warna. Sejujurnya, perubahan modul kamera ini menjadikan Galaxy Z Flip6 nampak lebih menonjol berbanding model sebelumnya.
Galaxy Z Flip6 masih menggunakan teknologi engsel yang sama iaitu dual rail hinge. Bermaksud ia masih menawarkan ketahanan yang baik dan boleh tutup dengan kemas. Selain itu, Galaxy Z Flip6 kini menggunakan kemasan jenis kesat untuk memberikan cengakaman yang lebih baik dan menyokong penafaran yang lebih tinggi iaitu IP48.
Untuk pilihan warna, Galaxy Z Flip6 hadir dengan 4 pilihan warna iaitu Yellow, Shadow Silver, Mint dan Blue. Terdapat lagi 3 pilihan warna yang ditawarkan melalui Samsung Eksklusif iaitu Crafted Black, Peach dan White. Pada pendapat kami, warna Shadow Silver adalah pilihan warna yang menarik untuk Galaxy Z Flip6. Namun begitu, anda mungkin menyukai pilihan warna yang berbeza.
Tiada perubahan pada skrin Galaxy Z Flip6, kekal menggunakan saiz skrin yang sama iaitu 6.7-inci Dynamic AMOLED 2X dengan paparan adaptif 1Hz-120Hz. Manakala, untuk FlexWindow ia hadir dengan saiz 3.4 panel AMOLED dengan paparan standard 60Hz. Walaupun menggunakan saiz skrin yang sama namun kesan lipatan kini lebih minimal berbanding Galaxy Z Flip5. Selain itu, keupayaan skrin luar kini dipertingkat dengan menyokong lebih banyak latar belakang yang interaktif.
Galaxy Z Flip6 merupakan fon lipat clamshell pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy. Dipadankan dengan RAM sehingga 12GB yang turut menyokong virtual RAM sehingga 8GB RAM. Untuk storan dalaman, ia hadir dengan dua pilihan iaitu 256GB dan 512GB. Prestasi sememangnya bukan masalah utama peranti ini. Pada percubaan kami, peranti dapat menjalankan tugasnya dengan sangat baik dan lancar.
Galaxy Z Flip6 kini mempunyai kapasiti bateri yang lebih besar iaitu 4000mAh berbanding 3700mAh pada Galaxy Z Flip5 dan Galaxy Z Flip4. Dengan kapasiti bateri yang lebih besar ia menjanjikan penggunaan yang lebih panjang dari kebiasaan. Menyokong pengecasan pantas 25W yang mampu mengecas dari 0% ke 50% hanya dalam 30 minit.
Buat pertama kali, pada siri Galaxy Z Flip Samsung menyertakan sistem penyejukkan pada Galaxy Z Flip6. Sistem penyejukkan ini membantu pelepasan haba menjadi lebih baik sekaligus dapat meningkatkan jangka hayat bateri. Penambahan sistem penyejukkan ini tidak memberi kesan kepada berat peranti, bermaksud ia kekal dengan berat yang sama iaitu 187gram. Selain itu, Samsung kini menggunakan binaa Armor Aluminium Frame yang 10% lebih baik berbanding model sebelumnya.
Selain bateri, Samsung turut menaik taraf kemampuan kamera pada peranti ini dengan sensor utama kini menggunakan 50MP Lebar + 12MP Ultra Lebar. Untuk kamera swafoto, ia hadir dengan sensor sebesar 10MP. Kamera ini menawarkan keupayaan zum yang lebih baik iaitu 2x untuk zum optik dan 10x untuk zum digital. Kami belum lagi dapat mencuba keupayaan penuh kamera peranti ini. Namun, kami sempat mengambil beberapa sampel gambar menggunakan kamera peranti ini.
Galaxy Z Flip6 turut dimuatkan dengan pelbagai fungsi Galaxy AI yang sama seperti yang ditawarkan pada Galaxy Z Fold6. Namun, terdapat fungsi tambahan pada Galaxy Z Flip6 iaitu Quickly Communicate on Flex Window. Melalui fungsi ini, ia memboleh mesej dibalas dengan pantas berdasarkan perbualan yang dijana oleh AI.
Spesifikasi lain yang turut hadir adalah seperti pelindung skrin Gorilla Glass Victus 2, pembesar suara jenis stereo, Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.3, pengimbas cap jari pada butang kuasa dan menjalankan One UI 6.1.1 yang berasaskan Android 14.