Samsung mengubah hala tuju segmen jam tangan pintar mereka dengan memperkenalkan model baru iaitu Galaxy Watch Ultra. Seperti namanya, model ini memfokuskan kepada pengguna aktiviti lasak atau pengguna aktif dalam masa menawarkan rekaan, fungsi dan spesifikasi yang menarik.
Rekaan dan binaan
Seperti yang diperkatakan di awalan, Samsung mengubah hala tuju jam tangan pintar mereka dengan membawakan Galaxy Watch Ultra. Berbeza dari apa yang pernah dihasilkan oleh Samsung, Galaxy Watch Ultra tampil dengan rekaan dan binaan yang lebih lasak.
Galaxy Watch Ultra hadir dengan skrin Super AMOLED bersaiz 1.5-inci dengan kecerahan puncak 3000 nits. Kemampuan skrin peranti ini boleh dikatakan sangat baik dan cukup terang sekiranya menggunakannya untuk aktiviti luar. Selain itu, skrin peranti ini cukup responsif dengan setiap sentuhan tanpa sebarang masalah. Tidak ketinggalan, skrin peranti ini dilindungi dengan sapphire crystal dan menyokong penarafan IP68.
Seperti yang kita tahu, Galaxy Watch Ultra sememangnya dibina untuk menjadi lebih tahan lasak sesuai dengan penawarannya yang memfokuskan kepada pengguna aktif. Berikutan itu, ia dibina dengan kerangka dari binaan titanium serta melepasi piawaian MIL-STD 810H.
Tidak hanya menawarkan ketahanan yang baik, ia turut mempunyai rekaan yang rugged, unik dan juga minimalis. Sejujurnya, kami menyukai rekaan Galaxy Watch Ultra yang menggunakan rekaan petak dengan muka jam berbentuk bulat. Selain itu, sentuhan warna jingga pada sesetengah bahagian menjadi ia nampak lebih menonjol.
Namun apa yang kurang menarik, ia hanya ditawarkan dalam satu pilihan saiz sahaja iaitu 47mm. Untuk pengguna dengan saiz tangan yang agak kecil ia mungkin tidak berapa sesuai kerana rekaan yang agak tebal. Sekiranya, ia hadir dengan pelbagai pilihan saiz mungkin akan menjadi lebih menarik.
Selain itu, Samsung turut membawakan fungsi baru pada sistem tali jam yang dipanggil sebagai Dynamic Lug Sytem. Sistem ini memudahkan untuk membuka dan menukar tali jam. Bercakap mengenai tali jam, Galaxy Watch Ultra ditawarkan bersama dengan tali jam jenis getah yang mempunyai tekstur kesat untuk memberikan cengkaman yang lebih baik.
Terdapat tiga butang yang dimuatkan pada Galaxy Watch Ultra yang diletakkan di bahagian sisi kanan. Butang ini mempunyai kemasan warna yang berbeza iaitu putih untuk back button dan jingga untuk home button dan quick button. Peranti ini turut dilengkapi dengan fungsi Emergency Siren yang boleh diaktifkan melalui Untuk quick button. Butang ini turut boleh ditukar untuk menjadi butang pintasan.
Secara keseluruhan, rekaan dan binaan Galaxy Watch Ultra sememangnya menonjol dan rugged jika dibandingkan dengan jam tangan pintar dalam segmen yang sama. Selain itu, ia juga dilihat menepati citarasa pengguna yang gemar melakukan aktiviti lasak dalam masa sesuai untuk pelbagai penggunaan.
Prestasi
Kemampuan prestasi mungkin perkara yang tidak perlu dirisaukan kerana Galaxy Watch Ultra dikuasakan dengan cip pemproses baharu W1000 yang lebih baik dan lebih berkuasa. Cip baru ini dipadankan dengan 2GB RAM dan storan dalaman 32GB. Samsung mendakwa cip ini menawarkan peningkatan prestasi yang lebih baik berbanding Exynos W930.
Pada percubaan kami, prestasi yang ditawarkan oleh Galaxy Watch Ultra sememangnya sangat baik dan lancar. Tiada sebarang masalah prestasi yang dihadapi sewaktu menggunakan peranti ini dan semua aplikasi dapat dijalankan dengan cukup lancar.
Apa yang kami suka mengenai Galaxy Watch Ultra adalah, ia hadir dengan pelbagai fungsi penjejakan dan kesihatan yang lengkap. Untuk itu, Samsung menggunakan sensor BioActive baru yang mampu memberikan tahap ketepatan yang lebih tinggi dan lebih baik.
Peranti ini juga hadir dengan fungsi Advanced Glycation End Products (AGES) yang akan memberikan maklumat kesihatan yang lebih terperinci tentang metabolisme berdasarkan kepada gaya hidup dan diet pemakanan. Pengguna juga boleh mengetahui skor kesihatan mereka melalui fungsi Energy Score yang dikuasakan oleh Galaxy AI. Fungsi ini memberikan skor berdasarkan kepada kadar denyutan jantung, purata masa tidur, konsistensi dan juga aktiviti harian.
Jika anda penggemar sukan lasak atau sebagainya, peranti turut menawarkan pelbagai mod sukan dan senaman secara terbina yang merangkumi triathlon, duathlon dan aquathlon. Melalui mod ini, ia dapat memantau aktiviti anda dengan lebih tepat. Bukan itu sahaja, mod ini turut membolehkan pengguna menetap cabaran untuk diri sendiri.
Tidak ketinggalan, pengguna turut boleh menetapkan keupayaan untuk berlatih dalam kadar zon denyutan jantung yang tertentu. Kemampuan GPS turut dipertingkatkan dengan sokongan Dual-Frequency GPS untuk memastikan penjejakan yang lebih baik. Melengkapinya, peranti ini turut hadir dengan fungsi ECG, Heart rate & HR alert, blood pressure, functional threshold power dan lain-lain.
Sistem operasi
Seperti jam tangan pintar Samsung yang lain, Galaxy Watch Ultra turut menjalankan sistem operasi One UI 6. Merupakan peranti terawal yang menggunakan sistem operasi yang berasaskan kepada Android Wear OS 5.
Mungkin boleh dikatakan, One UI 6 adalah sistem operasi terbaik yang ditawarkan dalam segmen jam tangan pintar. Cara pengendaliannya sistem operasi ini mudah dan ringkas menjadikan ia senang untuk digunakan tanpa memerlukan masa yang panjang untuk memahami cara penggunaannya.
Tidak terhenti di situ, antaramuka yang menarik dan interaktif menjadikan sistem operasi ini nampak sempurna. Pengalaman penggunaan yang diberikan juga cukup baik biarpun jika anda pertama kali mencubanya. Untuk menjadikan ia lebih menarik, One UI 6 turut menyokong pelbagai fungsi menarik seperti sokongan widget, Galaxy AI dan lain-lain.
Selain itu, peranti turut hadir dengan aplikasi Samsung Health yang membolehkan pengguna memantau pelbagai maklumat kesihatan dengan lebih mudah dan pantas. Turut menyokong pembayaran tunai melalui NFC dengan menggunakan Samsung Pay atau Google Wallet. Namun begitu, untuk mendapatkan potensi penuh Galaxy Watch Ultra anda perlu menggunakannya bersama dengan fon Samsung.
Bateri
Galaxy Watch Ultra dimuatkan dengan bateri sebesar 590mAh. Menurut Samsung, peranti ini mampu bertahan sehingga 48 jam dalam mod exercise power dan 100 jam dalam mod power saving.
Untuk penggunaan kami, ketahanan bateri Galaxy Watch Ultra mampu bertahan sekitar satu hari setengah atau dua hari untuk penggunaan berat. Yang mana, penggunaan ini merangkumi pelbagai perkara seperti penggunaan fungsi penjejakan, aplikasi, AOD dan sebagainya.
Bagi penggunaan yang lebih ringan, ia mampu memberi ketahanan bateri yang lebih panjang sekitar dua hari setengah atau tiga hari. Namun begitu, ketahanan bateri ini bergantung kepada cara penggunaan dan ia mungkin berbeza mengikut penggunaan.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, kita mungkin boleh mengatakan yang era baru jam tangan pintar dari Samsung telahpun tiba. Penawaran dan kemampuan yang dibawakan oleh Samsung pada Galaxy Watch Ultra ini sememangnya sangat baik dan berbeza.
Selain itu, pakej yang ditawarkan pada peranti ini sememangnya cukup menarik dan lengkap. Galaxy Watch Ultra tidak hanya lasak tetapi ia turut mempunyai daya tarikan yang baik dari segi rekaan, fungsi, teknologi dan spesifikasi. Sekaligus, menjadikan ia sebuah jam tangan pintar terbaik yang ada di pasaran ketika ini.