Google Pixel boleh dianggap sebagai pencabar terbaik untuk peranti Apple iaitu iPhone. Lebih menarik, terdapat pengguna menyatakan yang Google Pixel adalah iPhone versi Android. Antara sebab utama pendapat tersebut diberikan kerana kedua-dua peranti ini dihasilkan dan dibangunkan dengan resipi yang hampir sama.
Google Pixel mula diperkenalkan pada 2017 dan tidak pernah ditawarkan secara rasmi ke pasaran tempatan. Namun berbeza untuk kali ini, Google Pixel akhirnya tiba ke pasaran tempatan melalui siri Pixel 9.
Rekaan
Cantik dan mewah mungkin ayat yang sesuai untuk menggambarkan rekaan Pixel 9 Pro XL. Google telah melakukan beberapa perubahan untuk menjadikan rekaan peranti ini menjadi lebih baik dan menarik.
Perkara yang kami suka mengenai Pixel 9 Pro XL adalah ia kini menggunakan rekaan sisi dan skrin jenis rata. Rekaan ini memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik berbanding rekaan sisi dan skrin jenis melengkung. Sejujurnya, kami sememangnya menyukai rekaan jenis rata berbanding melengkung yang kadang kala memberikan rasa kurang selesa ketika menggunakannya. Namun begitu, anda mungkin mempunyai pendapat yang berbeza.
Google turut mengubah rekaan kamera belakang peranti ini yang mana ia tidak lagi disambungkan ke bahagian sisi. Rekaan ini menjadikan ia lebih minimalis sekaligus memudahkan pengguna untuk membezakan siri Pixel 8 dan siri Pixel 9. Panel belakang peranti ini menggunakan kemasan jenis kesat untuk memberikan cengkaman yang lebih baik dan tidak meninggalkan sebarang kesan cap jari.
Selain itu, pilihan warna yang ditawarkan untuk peranti ini juga cukup menarik iaitu Porcelain, Rose Quartz, Hazel dan Obsidian. Keempat-empat pilihan warna ini mempunyai karakter yang tersendiri. Pada pendapat kami, warna Hazel adalah paling menarik. Namun begitu, pilihan warna adalah perkara yang subjektif.
Satu-satunya perkara yang kami kurang gemar mengenai rekan peranti ini adalah ia menggunakan kemasan jenis berkilat pada bahagian sisi. Kemasan ini sememangnya menjadikan peranti nampak lebih mewah namun ia terasa sedikit licin. Berbeza dengan Pixel 9 yang menggunakan kemasan jenis kesat pada bahagian sisi namun menggunakan kemasan jenis berkilat pada panel belakang.
Secara keseluruhan, rekaan Pixel 9 Pro XL sememangnya mempunyai keunikannya yang tersendiri berbanding peranti lain di pasaran. Gabungan rekaan, kemasan dan pilihan warna menjadikan peranti ini mempunyai identiti yang berbeza.
Skrin
Pixel 9 Pro XL hadir dengan skrin LTPO OLED bersaiz 6.8-inci dengan resolusi 1344 x 2992. Turut menyokong paparan adaptif 120Hz, HDR, 24-bit display dan kecerahan puncak 3000 nits. Skrin peranti ini menggunakan teknologi Super Actua Display dan dilindungi dengan Corning Gorilla Glass Victus 2.
Berbeza dengan model sebelumnya, Google kini mengunakan rekaan skrin jenis rata untuk memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik. Tidak dinafikan, rekaan skrin melengkung menjadikan peranti nampak lebih mewah namun dari segi ergonomik skrin jenis rata adalah lebih baik. Selain itu, skrin jenis rata lebih mudah dan selesa untuk digunakan berbanding skrin jenis melengkung.
Kemampuan dan keupaayan skrin peranti ini sememangnya cemerlang dari semua aspek. Mempunyai ketahanan yang sangat baik dengan Corning Gorilla Glass Victus dan skrin yang cantik dengan teknologi Super Actua Display. Bukan itu sahaja, skrin peranti ini juga cukup terang untuk digunakan di bawah matahari dengan semua perincian dapat dilihat dengan jelas dan baik.
Skrin peranti ini sememangnya menawarkan pengalaman yang sangat baik dan cemerlang dengan warna yang dihasilkan sangat baik, sudut pandangan yang jelas dan juga responsif. Mungkin boleh dikatakan skrin peranti ini antara yang terbaik yang ada di pasaran ketika ini.
Prestasi
Peranti ini dikuasakan dengan cip Tensor G4 yang dibina dengan teknologi 4nm. Turut menyokong teknologi RAM LPDDR5X dan storan UFS 4.0. Keupayaan dan kemampuan pada cip ini boleh dikatakan sedikit lebih baik berbanding Tensor G3. Selain itu, cip ini lebih memfokuskan kepada keupayaan AI melalui Gemini Nano.
Pada penggunaan kami, tiada sebarang masalah berkenaan dengan prestasi yang kami hadapi. Prestasi yang ditawarkan cip ini sangat memberangsangkan. Semua tugasan dapat dijalankan dengan sangat lancar tanpa sebarang masalah. Kebanyakkan permainan boleh dimainkan pada tetapan grafik yang maksimum. Lebih menarik, untuk permainan Mobile Legends Bang Bang ia boleh dimainkan pada tetapan Ultra.
Selain itu, sepanjang penggunaan kami tiada sebarang masalah kepanasan yang melampau pada Pixel 9 Pro XL. Ini kerana Google menggunakan sistem penyejukan yang lebih baik dan lebih besar sekaligus menjadikan suhu peranti sentiasa berada di paras yang optimum. Apa yang boleh dirumuskan, kemampuan prestasi pada peranti ini sememangnya menggujakan.
Sistem operasi
Sedikit mengecawakan apabila Pixel 9 Pro XL diperkenalkan dengan Android 14 bukannya Android 15. Kebiasaanya, Google akan memperkenal sistem operasi baru bersama dengan Pixel baru namun tidak pada Pixel 9 Pro XL.
Namun begitu, Android 14 pada peranti ini masih menawarkan beberapa perubahan yang memfokuskan kepada fungsi AI. Terdapat pelbagai fungsi AI yang dibawakan oleh Google pada peranti ini yang membantu meningkatkan tahap kreativiti dan produktiviti dalam kehidupan seharian. Antara fungsi AI yang dibawa pada peranti ini adalah seperti Pixel Studio, Add Me, Gemini Live, Screenshot, Call Notes dan banyak lagi.
Terdapat beberapa fungsi yang kerap kami gunakan iaitu Pixel Studio yang menjana imej melalui teks dan memberikan hasil dalam beberapa bentuk 3D art, pencil sketch atau anime style. Fungsi Add Me membolehkan anda menambah seseorang ke dalam imej yang telah diambil dengan lebih mudah dan Gemini Live pula pembantu maya yang lebih maju boleh berinteraksi dengan pengguna.
Dari segi antaramuka, ia masih menawarkan rekaan yang minimalis dan mudah untuk digunakan. Turut hadir dengan beberapa sokongan yang menarik seperti wallpaper & style, widget, themed icon dan banyak lagi. Google turut menjanjikan kemas kini yang lebih panjang iaitu sehingga 7 tahun merangkumi kemas kini Android dan juga kemas kini keselamatan. Bermakna, peranti ini akan mendapat kemas kini sehingga 2031.
Kamera
Untuk fotografi, Pixel 9 Pro XL hadir dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 48MP Telefoto + 48MP Ultra Lebar. Untuk swafoto, ia hadir dengan sensor yang lebih besar iaitu 42MP berbanding 10.5MP pada model sebelumnya. Google masih mengekalkan konfigurasi kamera yang sama namun ia menawarkan kemampuan yang lebih baik berbanding model sebelumnya.
Pada percubaan kami, hasil imej yang diberikan melalui kamera peranti ini sangat baik biarpun dalam pelbagai keadaan dan situasi. Selain itu, keupayaan shutter peranti ini juga pantas dan lebih cepat untuk mengesan subjek atau objek. Sekaligus, dapat memberikan pengalaman point and shoot yang lebih baik. Namun begitu, pada beberapa keadaan pemprosesan imej terasa agak perlahan dan perlu menunggu beberapa saat sebelum hasilnya dapat dilihat.
Untuk imej dengan cahaya yang cukup, ia dapat memberikan hasil imej yang cukup baik dengan kontras warna yang vibrant dan terperinci. Pada keadaan kurang cahaya, ia masih dapat memberikan hasil imej yang baik, cerah dan dapat mengekalkan perincian imej dengan sangat baik.
Kemampuan kamera telefoto dan potrait pada peranti ini juga baik dengan imej yang dihasilkan nampak lebih tajam, perincian dapat dikekalkan dan potongan bokeh yang kemas. Namun begitu, pada sesetengah keadaan potongan bokeh menjadi kurang kemas namun ia tidak begitu ketara. Dari segi rakaman video, ia kini menyokong resolusi yang lebih tinggi iaitu 8K dengan 30fps.
Bateri
Pixel 9 Pro XL dimuatkan dengan bateri sebesar 5060mAh yang mampu bertahan seharian untuk penggunaan biasa. Turut menyokong pengecasan 45W yang mampu mengecas 0% ke 70% hanya dalam 30 minit sahaja.
Untuk penggunaan kami, ketahanan bateri Pixel 9 Pro XL boleh dikatakan baik mampu bertahan seharian dengan Screen On Time (SOT) yang ditawarkan adalah sekitar 6 jam dan ke atas. Yang mana, penggunaan ini merangkumi pelbagai perkara seperti bermain permainan, menonton kandungan media sosial, navigasi dan sebagainya.
Untuk penggunaan yang lebih ringan, ia mampu memberi ketahanan bateri yang lebih panjang dengan SOT yang mungkin boleh dicapai sekitar 7 jam atau lebih. Namun begitu, ketahanan bateri ini bergantung kepada cara penggunaan dan ia mungkin berbeza mengikut penggunaan.
Kesimpulan
Kesimpulannya, Pixel 9 Pro XL boleh dianggap sebagai fon yang menarik dan lengkap untuk peminat Android asli. Gabungan spesifikasi, teknologi, AI dan kamera yang dibawakan pada peranti ini sememangnya menjanjikan sesuatu yang berbeza dari apa yang ditawarkan di pasaran ketika ini.
Jika anda peminat Android asli dan mahukan peranti yang sensasi serta penuh inovasi, Pixel 9 Pro XL adalah pilihan terbaik.