HONOR telahpun berkongsi tarikh pelancaran peranti andalan mereka yang seterusnya iaitu siri Magic7 pada 30 Oktober ini.
Terbaru, CEO HONOR iaitu Zhao Ming dalam satu temu bual telah memperlihatkan rekaan Magic7 Pro. Pada acara tersebut, beliau memperlihatkan fungsi AI yang ditawarkan pada Magic7 Pro sekaligus mendedahkan beberapa butiran mengenai rekaan peranti tersebut.
HONOR Magic7 Pro dilihat tampil dengan skrin jenis melengkung namun mempunyai bingkai yang lebih nipis. Selain itu, terdapat juga kamera swafoto yang diletakkan pada bahagian tengah dengan rekaan seperti pil sama seperti model sebelumnya.
Untuk rekaan belakang, tidak banyak butiran yang didedahkan berikutan peranti tersebut dilindungi dengan kerangka pelindung. Terdapat dua kamera dengan lampu LED dan juga rekaan kamera belakang yang dilihat agak tebal.
Seperti biasa, maklumat lanjut mengenai peranti ini hanya akan diketahui pada acara pelancarannya kelak. Sama-sama kita nantikan.