Samsung secara rasmi memperkenalkan fon lipat baru mereka iaitu Galaxy Z Fold Special Edition di Korea. Seperti namanya, peranti hadir dengan pelbagai peningkatan yang lebih menarik berbanding model biasa.
Galaxy Z Fold Special Edition boleh dikatakan sebagai fon lipat paling nipis dan ringan yang pernah dihasilkan oleh Samsung. Peranti ini hanya setebal 10.6mm apabila dilipat dan berat hanya sekitar 236 gram. Selain itu, skrin dalaman kini bersaiz 8-inci dengan nisbah aspek 20:18 sementara skrin luar pula bersaiz 6.5-inci dengan nisbah 21:9.
Keupayaan kamera turut dipertingkat dengan kamera utama kini menggunakan sensor 200MP dengan OIS yang dipadankan dengan kamera ultra lebar 12MP dan kamera telefoto 10MP. Kamera utama ini menyokong rakaman video sehingga 8K 30fps. Manakala, untuk swafoto ia tampil dengan 4MP di bawah skrin untuk skrin utama dan 10MP untuk skrin kedua.
Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy yang dipadankan dengan 16GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB. Dimuatkan dengan kapasiti bateri 4400mAh yang turut menyokong pengecasan berwayar 25W dan 15W tanpa wayar. Spesifiasi lain yang turut dibawakan adalah seperti pembesar suara jenis stereo, Bluetooth 5.3, NFC, Wi-Fi 7, UWB dan menjalankan sistem operasi One UI 6.1.1 yang berasaskan Android 14 dengan Galaxy AI.
Di Korea, Galaxy Z Fold Special Edition ini dijual pada harga sekitar KRW 2,789,600 (RM8760). Ditawarkan dalam satu pilihan varian sahaja iaitu 16GB + 512GB dengan warna Black Shadow.