Close

Snapdragon 8 Elite diumumkan – Guna CPU Oryon dengan GPU 40% lebih pantas

Qualcomm secara rasmi memperkenalkan cip andalan mereka yang seterusnya di acara Snapdragon Summit 2024. Secara keseluruhanya, cip terbaru ini membawakan perubahan yang ketara dari semua aspek dan menggunakan skema nama baharu yang dikenali sebagai Snapdragon 8 Elite bukannya Snapdragon 8 Gen 4.

Snapdragon 8 Elite menggunakan CPU Oryon dan dibina dengan teknologi binaan 3nm. Hadir dengan konfigurasi 2+6 dengan 2 teras CPU Prime berkelajuan 4.32GHz + 6 teras CPU Perfomance berkelajuaan 3.53GHz. Cip ini dipadankan dengan RAM LPDDR5X dengan kelajuan 5300MHz.

Menurut Qualcomm, Snapdragon 8 Elite ini menggunakan CPU Oryon generasi ke-2 yang menawarkan peningkatan prestasi sehingga 45% pada CPU dan menggurangkan penggunaan kuasa sehingga 44%.

Untuk prestasi GPU, cip ini menjanjikan peningkatan sehingga 40% lebih pantas dan menyokong Unreal Engine 5.3. Bukan itu sahaja, GPU ini turut menawarkan peningkatan ray tracing sehingga 35% dengan penjimatan kuasa sehingga 40%. Merupakan cip Snapdragon pertama yang menyokong fungsi Nanite yang digunakan pada Unreal Engine 5.3.

Dari segi sambungan, cip ini menggunakan modem Snapdragon X80 5G yang menawarkan kelajuan muat turun sehingga 10Gbps dan muat naik sehingga 3Gbps. Turut menyokong FastConnect 7900 yang menggabungkan WiFi 7 dan Bluetooth 5.4. Spesifikasi lain yang turut dibawakan adalah seperti kamera sehingga 320MP, sokongan skrin QHD+ 240Hz, rakaman video sehingga 8K 60fps dan UWB.

Peranti dengan cip Snapdragon 8 Elite dijangka akan mula diperkenalkan dalam masa terdekat. Antara pengeluar terawal yang akan menggunakan cip ini adalah HONOR, iQOO, OnePlus, Xiaomi, OPPO, realme, Samsung dan vivo.

ARTIKEL BERKAITAN