Close

3 perkara menarik dan kurang menarik pada Samsung Galaxy Tab S10+

Samsung Galaxy Tab S10+ telahpun ditawarkan secara rasmi ke pasaran tempatan. Tablet ini hadir dengan pakej yang lengkap dan menarik sesuai untuk kegunaan yang pelbagai.

Bukan itu sahaja, peranti ini turut dimuatkan dengan spesifikasi yang berkuasa dan menyokong pelbagai fungsi yang dikuasakan oleh Galaxy AI.

3 perkara menarik

Prestasi

Tidak seperti model sebelumnya, Samsung kini menggunakan cip MediaTek iaitu Dimensity 9300+ pada Galaxy Tab 10+. Sebagai perbandingan, Samsung menggunakan cip Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Gen 2 pada Galaxy Tab S9+.

Cip Dimensity 9300+ adalah cip kelas andalan, menggunakan konfigurasi CPU 8 teras yang dipadankan dengan GPU Arm Immortalis-G720. Selain dimuatkan dengan cip yang berkuasa, peranti ini turut dilengkapi dengan konfigurasi 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Dengan konfigurasi memori yang besar ia menawarkan prestasi yang cukup mengujakan.

Secara keseluruhan, kemampuan prestasi pada peranti ini sememangnya sangat baik dan lancar. Semua aplikasi dan permainan dapat dijalankan dengan cemerlang dan boleh dimainkan pada tetapan yang tinggi. Jadi, prestasi bukan perkara yang perlu dirisaukan pada peranti ini.

Binaan

Untuk menjadikan tablet ini sedikit lebih lasak. Samsung menggunakan bahan binaan yang lebih berkualiti dan lebih premium pada Galaxy Tab S10+. Berikutan itu, bahan binaan Armor Aluminium telah digunakan pada peranti ini untuk menjadikan ia lebih tahan hentakan.

Bukan itu sahaja, peranti ini turut menyokong penarafan IP68 sekaligus menjadikan ia kalis air dan debu. Skrin peranti ini turut dilindungi dengan Corning Gorilla Glass 5 yang menawarkan perlindungan yang lebih baik dan lebih tahan calar. Selain itu, Galaxy Tab S10+ adalah 15 gram lebih ringan berbanding generasi sebelumnya.

Galaxy AI

Peranti ini turut dimuatkan dengan pelbagai fungsi yang dikuasakan oleh Galaxy AI. Fungsi ini boleh dikatakan sebagai salah satu tarikan yang ditawarkan oleh Samsung pada Galaxy Tab S10+. Melaluinya, ia dapat meningkatkan lagi produktiviti serta memudahkan pelbagai urusan harian.

Bercakap mengenainya, antara fungsi Galaxy AI yang dimuatkan pada Galaxy Tab S10+ adalah seperti Circle to search, Chat assist, Interpreter, Browsing assist, Transcript assist, Note assist, Composer dan juga Drawing assist. Bukan itu sahaja, terdapat juga fungsi Galaxy AI yang memfokuskan kepada imej seperti Sketch to image dan Photo assist.

Pada penggunaan kami, terdapat 3 fungsi yang kerap kami gunakan iaitu Circle to search, Photo assist dan Sketch to image. Circle to search memudahkan untuk membuat cari dengan lebih pantas, Photo assist pula mampu menghasilkan imej yang lebih baik manakala Sketch to image membantu untuk menjana hasil lukisan dengan menarik dan unik.

Berbeza dengan model sebelumnya, Galaxy Tab S10+ menyokong kemas kini yang lebih panjang iaitu sehingga 7 tahun untuk Android dan juga keselamatan pada Galaxy Tab S10+. Bermaksud, peranti ini akan menerima kemas kini sehingga 2031.

3 Perkara kurang menarik

Rekaan

Jika anda mengharapkan rekaan yang berbeza pada Galaxy Tab S10+ ia mungkin sedikit mengecawakan. Secara keseluruhan, tiada perubahan ketara yang dibawakan oleh Samsung pada Galaxy Tab S10+. Masih lagi menggunakan rekaan sisi jenis rata, panel belakang jenis kesat dan susunan kamera yang sama.

Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa perubahan yang dilakukan oleh Samsung untuk menjadikan ia lebih menarik dan lebih baik berbanding generasi sebelumnya. Galaxy Tab S10+ kini ditawarkan dengan 2 pilihan warna baru iaitu Moonstone Gray dan Platinum Silver.

Kita mungkin boleh menjangkakan yang Samsung akan membawakan perubahan rekaan yang lebih ketara untuk generasi yang seterusnya.

Pengecasan

Seperti mana rekaan, Samsung turut mengekalkan teknologi pengecasan dan kapasiti bateri yang sama iaitu 45W dan 10,900mAh. Sebagai perbandingan, terdapat beberapa pengeluar sedia menawarkan pengecasan yang lebih pantas untuk peranti mereka.

Sejujurnya, kami menjangkakan peningkatan pada teknologi pengecasan yang lebih pantas sekurang-kurangnya 65W. Namun, perkara tersebut tidak berlaku. Samsung mungkin mempunyai sebab tersendiri untuk mengekalkan pengecasan pantas yang sama atau pengecasan lebih pantas hanya akan tiba pada peranti yang seterusnya.

Harga

Ini mungkin perkara yang anda akan bersetuju dengan kami. Yang mana, harga jualan untuk Galaxy Tab S10+ boleh dikatakan agak mahal. Jika dibandingkan dengan beberapa pengeluar lain yang menawarkan peranti dalam segmen yang sama, harga jualan yang ditawarkan ia sedikit lebih rendah.

Di Malaysia, harga jualan untuk Galaxy Tab S10+ bermula dari RM4599 dan mencecah sehingga RM6649. Namun, sekiranya harga bukan penghalang Galaxy Tab S10+ boleh dikatakan sebagai antara pilihan terbaik yang ada di pasaran ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN