Close

MacBook Pro dan iMac baru turut boleh dibeli di Malaysia dengan harga bermula RM5799

Selain Mac mini baru, MacBook Pro dan iMac baru turut boleh dibeli pengguna di Malaysia.

MacBook Pro generasi baru ini ditawarkan dalam 2 pilihan saiz skrin iaitu 14-inci atau 16-inci dengan 3 pilihan cip iaitu M4, M4 Pro dan M4 Max.

Apple menyatakan yang MacBook Pro dengan cip M4 ini menawarkan peningkatan 20 kali ganda lebih pantas dari MacBook Pro yang dijana dengan cip Intel. Selain itu, ia turut menawarkan jangka hayat bateri yang lebih panjang sehingga 24 jam. Dari segi skrin, semua model dilengkapi dengan paparan Liquid Retina XDR yang dipertingkat dengan pilihan nano-texture.

Spesifikasi lain yang turut hadir adalah seperti slot kad SDXC, MagSafe 3, WiFi 6E, Thunderbolt 5, bicu audio 3.5mm, HDMI dan menjalankan sistem operasi macOS Sequoia. Namun begitu, Thunderbolt 5 hanya tersedia untuk MacBook Pro yang menggunakan cip M4 Pro dan M4 Max.

Untuk iMac, ia hadir dengan cip M4 yang mempunyai 10 teras CPU dan 10 teras GPU. Apple mendakwa iMac ini menawarkan peningkatan prestasi 1.7x lebih pantas untuk tugasan harian dan 2.1x lebih pantas untuk tugasan kerja. Sekaligus, menjanjikan pengalaman penggunaan yang lebih baik untuk suntingan video 4K, suntingan gambar, rendering 3D dan lain-lain.

Dipadankan dengan konfigurasi RAM yang lebih besar iaitu 16GB berbanding 8GB pada model sebelumnya. Untuk storan dalaman, ia hadir dengan sokongan sehingga 2TB SSD. iMac baru ini hadir dengan skrin 24-inci Retina Display dengan resolusi 4.5K. Skrin baru ini dilengkapi dengan nano-texture glass merupakan salutan khas untuk menggurangkan silau pada skrin.

Di Malaysia, MacBook Pro 14-inci dijual pada harga bermula RM6999 manakala MacBook Pro 16-inci pula dijual pada harga bermula RM10,999. Untuk iMac, ia dijual pada harga bermula RM5799 dan mencecah sekitar RM8399.

ARTIKEL BERKAITAN