Close

Ulasan Samsung Galaxy A56 – Rekaan premium, prestasi maksimum?

Samsung Galaxy A56 telahpun tiba secara rasmi ke pasaran tempatan. Tampil dengan pelbagai peningkatan menarik yang merangkumi rekaan, spesifikasi dan juga teknologi yang lebih baik dari sebelumnya.

Rekaan

Samsung masih menggunakan rekaan yang sama seperti model sebelumnya. Kekal dengan rekaan yang kemas dan premium biarpun tanpa perubahan yang ketara. Satu-satunya perubahan yang mungkin anda perasan adalah pada bahagian rekaan kamera belakang.

Samsung tidak lagi menggunakan rekaan modul kamera jenis ‘Floating Camera’ seperti model sebelumnya sebaliknya menggunakan rekaan baru yang nampak lebih kemas dan minimalis. Sekaligus, memudahkan pengguna membezakan antara Galaxy A55 dan Galaxy A56.

Peranti ini juga terasa lebih nipis dan ringan berbanding generasi sebelumnya. Berat peranti ini adalah sekitar 198gram dan ketebalannya pula adalah 7.4mm. Apa yang kami perasan, peranti ini mempunyai rekaan yang ergonomik serta lebih selesa dipegang dan tidak lagi mempunyai rekaan tepi yang terasa tajam.

Rekaan bingkai peranti ini menggunakan rekaan jenis rata namun pada bahagian butang ia menggunakan rekaan unik yang dikenali ‘Key Island’ yang menempatkan butang kuasa dan butang suara. Rekaan ini memberikan cengkaman yang lebih baik ketika menggunakan peranti ini.

Tidak hanya tampil dengan rekaan yang premium, Samsung Galaxy A56 ini turut menyokong penarafan IP67 yang memastikan peranti ini kalis air dan habuk serta memberikan ketahanan tambahan kepada pengguna. Untuk pilihan warna, ia hadir dengan 4 pilihan warna yang unik dan menarik iaitu Awesome Graphite, Awesome Lightgray, Awesome Olive dan Awesome Pink.

Secara keseluruhan, Samsung Galaxy A56 menawarkan rekaan yang premium, selesa dipegang dan juga tahan lasak. Menjadikannya pilihan ideal bagi mereka yang mahukan peranti berkualiti tinggi pada harga yang menarik.

Skrin

Samsung Galaxy A56 dilengkapi dengan skrin yang sedikit lebih besar iaitu 6.7-inci berbanding 6.6-inci pada model sebelumnya. Perubahan tersebut mungkin hanya terlihat di atas kertas kerana secara fizikal seperti tiada perbezaan. Masih menggunakan skrin Super AMOLED, paparan 120Hz, HDR10+ dan Vision Booster.

Walaupun dilengkapi dengan teknologi skrin yang canggih namun rekaan bingkai skrin peranti ini masih lagi tebal dan tidak simetri. Namun begitu, skrin peranti ini dilindungi dengan Gorilla Glass Victus+ untuk ketahanan yang lebih baik dan mempunyai tahap kecerahan puncak yang lebih tinggi 1200 nits berbanding 1000 nits pada generasi sebelumnya.

Kemampuan dan keupayaan skrin peranti ini sememangnya cemerlang dari semua aspek. Sesuai untuk digunakan dalam pelbagai keadaan pencahayaan serta menjanjikan pengalaman visual yang imersif dan luar biasa. Sama ada untuk bermain permainan, media sosial atau menonton movie.

Prestasi dan sistem operasi

Samsung Galaxy A56 dikuasakan dengan cip Exynos 1580 yang dipadankan dengan 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Cip ini menjanjikan peningkatan prestasi 18% pada CPU, 17% pada GPU dan 12% pada NPU berbanding cip Exynos 1480 yang digunakan pada Galaxy A55.

Perkara tersebut bukan sekadar teori atau di atas kertas sahaja. Sepanjang penggunaan dan percubaan kami tiada sebarang masalah dari segi prestasi. Peranti ini mampu menjalankan pelbagai tugasan dengan baik dan lancar. Selain itu, kemampuan prestasi ini cukup stabil dan pantas mungkin boleh dikatakan setanding seperti siri Galaxy S.

Peranti ini turut menawarkan kemampuan prestasi yang baik untuk permainan. Kebanyakkan permainan boleh dimainkan dengan lancar dan tidak menyebabkan kepanasan yang melampau. Untuk itu, Samsung menyertakan sistem penyejukan yang lebih baik menjanjikan prestasi peranti sentiasa di paras yang optimum.

Samsung Galaxy A56 menjalankan sistem operasi One UI 7 yang berasaskan Android 15. Apa yang boleh dikatakan, One UI 7 adalah sistem operasi yang cantik, menarik dan mudah untuk digunakan. Jadi, sistem operasi ini tidak memerlukan masa yang panjang untuk anda mula memahaminya.

Selain itu, One UI 7 kini hadir dengan antara muka yang lebih menarik dan lebih kemas. Anda kini mempunyai lebih banyak pilihan ikon baru dan sokongan widget kini lebih interaktif. Samsung turut menambah baik rekaan control center yang kini lebih tersusun dan lebih mudah untuk diakses.

Samsung turut membawakan keupayaan kecerdasan buatan (AI) melalui Awesome Intelligence. Melaluinya, ia hadir dengan beberapa fungsi AI menarik seperti Object Eraser, Best Face, AI Select, Read Aloud, Circle to Search dan intergrasi Google Gemini. Fungsi ini bukanlah inovasi baru sebaliknya fungsi sedia ada yang diperkenalkan semula.

Walaupun tidak menawarkan fungsi AI setanding peranti andalan namun ia sesuatu yang menarik untuk melihat peranti ini turut menyokong fungsi yang dikuasakan oleh AI. Selain itu, Samsung turut menawarkan kemas kini yang lebih panjang sehingga 6 tahun untuk Android dan keselamatan.

Kamera

Samsung Galaxy A56 hadir dengan tetapan kamera yang sama seperti model sebelumnya. Menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 12MP Ultra Lebar + 5MP Makro dan 12MP untuk swafoto.

Walaupun menggunakan tetapan kamera yang sama namun aplikasi kamera Galaxy A56 kini terasa lebih lancar dan pantas. Perkara tersebut diterjamahkan melalui penukaran kamera utama dan ultra lebar yang tiada lengah masa yang teruk dan lancar. Antara muka aplikasi juga kini lebih tersusun dan mudah untuk diakses.

Untuk hasil imej pada keadaan dengan cahaya yang cukup, hasil yang diberikan cukup baik dengan julat dinamik yang luas dan warna yang konsisten. Selain itu, imej yang dihasilkan juga terang dan perincian yang diberikan juga cukup jelas. Keupayaan mod potret peranti ini juga memberangsangkan dengan objek dan latar belakang dapat dibezakan dengan baik.

Untuk keadaan kurang cahaya, hasil imej yang diberikan juga baik dan terang. Namun begitu, pada beberapa keadaan perincian imej tidak dapat dikekalkan dengan baik. Kemampuan kamera ultra lebar juga boleh dikatakan cukup baik dapat memberikan hasil imej yang berkualiti melainkan jika digunakan pada keadaan kurang cahaya.

Selain itu, Samsung turut membawakan fungsi baru iaitu filters yang membolehkan pengguna mengubahsuai filter atau memuat turun filter untuk digunakan pada imej yang diambil. Dari segi video, peranti ini menyokong rakaman video pada resolusi 4K 30 fps.

Bateri

Samsung Galaxy A56 ini dimuatkan dengan bateri 5000mAh yang mampu menawarkan ketahanan bateri yang cukup baik. Jika untuk penggunaan biasa, peranti ini mampu bertahan sepanjang hari dengan Screen On Time (SOT) sekitar 8 jam dan ke atas.

Bagi penggunaan yang lebih berat, ia mampu memberikan Screen On Time (SOT) sekitar 6 jam atau 7 jam dan ke bawah. Namun begitu, ia bergantung kepada penggunaan mungkin berbeza bagi setiap pengguna. Secara keseluruhan, kemampuan bateri peranti ini sememangnya baik namun jika Samsung menawarkan kapasiti bateri yang lebih besar dan teknologi pengecasan yang lebih pantas ia pasti menjadikan peranti ini lebih menarik.

Dari segi pengecasan, peranti ini menyokong pengecasan yang lebih pantas 45W berbanding 25W pada model sebelumnya. Merupakan siri Galaxy A pertama yang menyokong pengecasan 45W. Samsung mendakwa, ia mampu mengecas 65% hanya dalam 30 minit dan pengecasan penuh mengambil masa 68 minit.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, kami merasakan yang Samsung Galaxy A56 mungkin boleh dikatakan sebagai siri Galaxy A yang terbaik setakat ini. Sokongan kemas kini yang lebih panjang, pengecasan yang lebih pantas dan rekaan premium adalah ramuan istimewa yang ada pada peranti ini.

Dengan pelbagai peningkatan yang dibawakan pada peranti ini Samsung berjaya menjadikan ia lebih menonjol berbanding generasi sebelumnya.

ARTIKEL BERKAITAN