Samsung Galaxy A36 mungkin boleh dikatakan selepas sebagai alternatif terbaik sekiranya anda mahu mencari peranti yang seimbang dari segi rekaan, spesifikasi dan perisian. Peranti ini telahpun ditawarkan secara rasmi di Malaysia dengan harga RM1699.
Rekaan dan skrin

Secara asasnya, Samsung masih menggunakan rekaan yang sama pada Galaxy A36. Namun begitu, ia kini hadir dengan rekaan kamera belakang baru yang lebih kemas. Sejujurnya, kami menyukai rekaan kamera baru ini kerana nampak lebih minimalis berbanding sebelumnya. Walau bagaimanapun, rekaan kamera ini masih lagi tebal dan menyebabkan peranti ini tidak rata apabila diletakkan di atas mana-mana permukaan.

Samsung turut mengubah beberapa perkara untuk menjadikan peranti ini lebih nipis dan ringan berbanding model sebelumnya. Sebagai perbandingan, Samsung Galaxy A35 mempunyai berat 209gram dan tebal sekitar 8.2mm. Sementara, Samsung Galaxy A36 pula hanya seberat 195gram dan tebal sekitar 7.4mm. Dengan rekaan yang lebih nipis dan ringan ia menjadikan peranti ini lebih selesa apabila digunakan.

Selain itu, Samsung masih mengekalkan binaan dan kemasan yang premium untuk menjadikan peranti ini nampak mewah. Rekaan bingkai peranti ini masih lagi jenis rata, kemasan jenis kesat dan terdapat Key Island yang menempatkan butang kuasa dan suara. Peranti ini turut menyokong penarafan IP67 untuk memberikan ketahanan yang lebih baik.

Samsung Galaxy A36 dilengkapi dengan skrin yang sedikit lebih besar iaitu 6.7-inci berbanding 6.6-inci pada model sebelumnya. Kami tidak merasakan sebarang perubahan ketara biarpun saiz skrin sedikit lebih besar. Peranti ini menggunakan skrin Super AMOLED dengan resolusi FHD+ yang turut menyokong paparan 120Hz dan Vision Booster.


Perkara yang kami kurang suka mengenai skrin peranti ini adalah rekaan bingkai yang tebal dan tidak simetri. Namun begitu, skrin peranti ini dilindungi dengan Gorilla Glass Victus+ untuk ketahanan yang lebih baik dan mempunyai tahap kecerahan puncak yang lebih tinggi 1200 nit untuk memberikan penglihatan yang lebih jelas dan terang untuk kegunaan luar. Secara keseluruhan, kemampuan dan keupayaan skrin peranti ini sememangnya cemerlang dalam semua aspek.
Prestasi dan sistem operasi

Samsung Galaxy A36 merupakan satu-satunya peranti yang dikuasakan dengan cip Snapdragon dalam siri Galaxy A kali ini. Dikuasakan dengan cip Snapdragon 6 Gen 3 yang dipadankan dengan 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Malangnya, peranti ini tidak lagi menyokong storan tambahan kerana tiada slot untuk mikroSD.

Apa yang boleh dikatakan, peranti ini hadir dengan peningkatan yang lebih baik dari segi prestasi dan juga perisian. Dari segi prestasi, kemampuan peranti ini boleh dikatakan cukup baik dan sesuai dengan penawarannya. Mampu menjalankan pelbagai tugasan dengan baik dan lancar.

Tidak hanya untuk tugasan biasa, peranti ini turut menawarkan kemampuan prestasi yang baik untuk permainan. Kebanyakkan permainan boleh dimainkan dengan lancar dan tiada masalah kepanasan melampau. Secara keseluruhan, prestasi peranti ini sememangnya cukup baik untuk kegunaan harian.

Sistem operasi yang digunakan pada peranti adalah yang terkini iaitu One UI 7, dibina berasaskan Android 15. Hadir dengan antara muka yang menarik, kemas dan juga interaktif. Berbeza dengan sistem operasi lain, One UI 7 tidak menyertakan sebarang pre-installed apps atau bloatware.

Samsung turut menambah baik rekaan pada sistem operasi ini dengan memperkenalkan control center baru yang lebih tersusun dan lebih mudah untuk diakses. Selain itu, tema dan ikon juga turut menyokong lebih banyak pilihan yang lebih menarik.

Seperti peranti Samsung lain, Galaxy A36 turut menyokong fungsi yang dikuasakan oleh AI yang dipanggil sebagai Awesome Intelligence. Secara asasnya, fungsi ini tidaklah setanding seperti Galaxy AI namun ia cukup untuk menjadi nilai tambah pada peranti ini.


Antara fungsi yang ditawarkan melalui Awesome Intelligence adalah seperti Object Eraser, Best Face, AI Select, Read Aloud, Circle to Search dan intergrasi Google Gemini. Tidak ketinggalan, peranti ini turut menyokong fungsi Now Bar, memaparkan informasi dan kemas kini masa nyata pada skrin hadapan ketika dikunci. Selain mempunyai fungsi AI yang menarik, Samsung turut menawarkan kemas kini yang lebih panjang sehingga 6 tahun untuk Android dan keselamatan.
Kamera

Untuk fotografi, ia hadir dengan tetapan kamera yang sama seperti Galaxy A35. Menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 8MP Ultra Lebar + 5MP Makro. Untuk swafoto, ia hadir dengan sensor 12MP yang menyokong Super HDR.


Untuk hasil imej pada keadaan dengan cahaya yang cukup, hasil yang diberikan cukup baik dengan warna yang realistik dan julat dinamik yang luas. Selain itu, imej yang dihasilkan juga terang dan perincian yang diberikan juga cukup jelas. Selain itu, edge detection pada mod potret juga cukup baik namun tiada sokongan zum 1x dan 2x pada mod ini.


Pada keadaan kurang cahaya, hasil imej yang diberikan sekadar memuaskan. Cenderung untuk memberikan hasil imej yang kurang tajam dan noise yang ketara biarpun menggunakan mod malam. Kemampuan kamera ultra lebar juga sekadar memuaskan dengan hasil imej yang diberikan kurang peincian dan kelihatan kabur.


Bercakap mengenai aplikasi kamera, Samsung hadir dengan antara muka yang lebih tersusun dan mudah untuk diakses. Terdapat fungsi baru iaitu filters yang membolehkan pengguna mengubahsuai filter atau memuat turun filter untuk digunakan pada imej yang diambil. Dari segi video, peranti ini menyokong rakaman video pada resolusi 4K 30 fps.
Bateri

Samsung Galaxy A36 masih mengekalkan kapasiti bateri yang sama seperti model sebelumnya iaitu 5000mAh. Namun begitu, ia kini hadir dengan sokongan pengecasan pantas yang lebih pantas iaitu 45W berbanding 25W. Walau bagaimanapun, Samsung tidak menyertakan kepala pengecasa di dalam kotak, bermaksud ia perlu dibeli secara berasingan.

Peranti ini mampu menawarkan ketahanan bateri yang cukup baik. Jika untuk penggunaan biasa, peranti ini mampu bertahan sepanjang hari dengan Screen On Time (SOT) sekitar 8 jam dan ke atas. Untuk penggunaan yang lebih berat, ia mampu memberikan SOT sekitar 6 jam atau 7 jam dan ke bawah. Namun begitu, ia bergantung kepada penggunaan mungkin berbeza bagi setiap pengguna.

Dari segi pengecasan, Samsung mendakwa peranti ini mampu mengecas 66% hanya dalam 30 minit dan pengecasan penuh mengambil masa 66 minit. Tidak dinafikan, peranti ini menawarkan keupayaan bateri dan pengecasan yang lebih baik dari model sebelumnya. Namun begitu, ia masih ketinggalan dalam kapasiti bateri dan kelajuan pengecasan berbanding pesaingnya dalam segmen yang sama.
Kesimpulan

Jika anda mencari peranti yang seimbang dengan rekaan yang premium, perisian yang lancar dan jangka hayat bateri yang panjang, Galaxy A36 adalah jawapan yang tepat. Tidak dinafikan terdapat peranti yang lebih berkuasa namun kelebihan utama pada peranti ini adalah sokongan perisian dan kemas kini yang sukar ditandingi.