Samsung Electronics melalui Southeast Asia Tech Seminar 2025 yang berlangsung di Bangkok, Thailand telah memperlihatkan inovasi rumah berasaskan kecerdasan buatan (AI). Visi Samsung mengenai rumah pintar adalah untuk menjadikan kehidupan seharian lebih mudah dan efisien.

Pada acara tersebut, Samsung memperkenalkan rangkaian produk rumah pintar mereka yang terkini dilengkapi dengan teknologi AI canggih. Samsung menyatakan, semua produk rumah pintar yang diperkenalkan mempunyai empat prinsip utama iaitu Mudah (Ease), Jimat (Save), Prihatin (Care) dan Selamat (Secure).

Antara yang menjadi tumpuan pada seminar ini adalah AI Home Display, yang mana ia kini tersedia pada lebih banyak produk. Membolehkan kawalan rumah dibuat secara menyeluruh melalui Map View dan SmartThings tanpa memerlukan sebarang hab tambahan. Lebih menarik, ia turut menyokong produk pihak ketiga yang disambungkan melalui aplikasi SmartThings.
Kemampuan Bixby turut dipertingkat kini menyokong ciri Voice ID untuk pengecaman suara pengguna. Melaluinya juga, pengguna boleh menyelaraskan pelbagai perkara seperti kalendar peribadi dan menetapkan aksesibiliti dari peranti. SmartThings turut hadir dengan ciri baru iaitu Family Care, pantau aktiviti ahli keluarga dan menerima maklumat sekiranya berlaku perubahan corak penggunaan. Ciri ini dilindungi dengan Samsung Knox.

Model refrigerator Side-by-Side turut diperlihatkan. Tampil dengan skrin AI Home bersaiz 9-inci dengan kemampuan AI melalui Family Hub. Menyokong beberapa fungsi menarik seperti AI Energy Mode dan Wide Auto Open yang membolehkan pintu dibuka dengan hanya sentuhan ringan.


Sokongan teknologi AI Wash kini turut ditawarkan untuk model top-load washer. Sebelum ini, teknologi tersebut tersedia secara eksklusif pada front-load washers. Bukan itu sahaja, model top-load washer turut hadir dengan pelbagai ciri AI lain seperti AI Energy Mode dan AI VRT+. Selain itu, model Bespoke AI Washer & Dryer baru kini hadir dengan ciri AI Wash+ dan AI Dry+, yang mampu mengenal pasti jenis fabrik dan mengoptimumkan cucian.

Inovasi yang lebih menarik turut diperkenalkan untuk penghawa dingin yang menyokong ciri baru Good Sleep sekaligus membolehkan ia disepadukan dengan Galaxy Watch dan Galaxy Ring. Melalui ciri ini, penghawa dingin akan menyelaraskan suhu secara automatik berdasarkan kepada data pengesanan peringkat tidur dari peranti boleh pakai.
Samsung juga memperkenalkan barisan System Air Conditioner (SAC) baru yang hadir dengan sokongan Wi-Fi secara terbina dan juga ciri kawalan pintar.

Akhir sekali, Samsung turut membawakan model vakum baru iaitu AI Jet Ultra Bespoke. Menurut Samsung, AI Jet Ultra Bespoke adalah vakum cordless stick paling berkuasa yang ada di pasaran ketika ini. Vakum ini mempunyai kuasa sedutan sehingga 400W dan mempunyai AI Cleaning Mode 2.0 yang boleh mengesan jenis sudut dan permukaan lantai.