Nothing telahpun memperkenalkan peranti andalan mereka yang seterusnya iaitu Phone (3). Berbeza dari model sebelumnya, Phone (3) tampil dengan beberapa peningkatan menarik merangkumi rekaan, prestasi,kamera dan juga kemas kini.
Rekaan

Nothing menggunakan rekaan baru pada Phone (3) yang berbeza dari model sebelumnya. Rekaan panel belakang diberi nafas baru dan berubah secara keseluruhan. Nothing menggunakan falsafah baru yang dipanggil sebagai ‘disciplined 3-column grid’.


Berikutan dari itu, keseluruhan komponen bahagian belakang seperti modul kamera, glyph matrix dan struktur dalaman disusun mengikut grid tiga lajur. Jika dilihat sekali imbas, rekaan ini mungkin nampak pelik namun bagi sesetengah pengguna ia adalah seni.

Selain itu, Nothing kekal menggunakan rekaan lut sinar pada Phone (3) yang menjadi DNA atau identiti mereka. Rekaan ini mungkin boleh dikatakan sebagai gabungan gaya industri moden dan elemen seni bina yang tersendiri.
Glyph matrix

Nothing mengambil pendekatan yang berani dengan menggantikan glyph light kepada glyph matrix. Perubahan ini menjadikan Phone (3) nampak lebih interaktif dan lebih menarik berbanding menggunakan glyph light yang hanya terhad kepada beberapa fungsi sahaja.
Glyph matrix diletakkan pada bahagian atas sebelah kanan dan menyokong 489 mikro LED yang digunakan untuk memaparkan notifikasi, jam digital dan sebagainya. Nothing turut memuatkan butang tambahan pada panel belakang yang dipanggil sebagai glyph button, digunakan untuk ubah atau tukar widget pada Glyph Matrix.

Untuk menjadikan ia lebih menarik, glyph matrix turut menyokong beberapa permainan yang boleh ditukar dengan menggunakan glyph button. Nothing menyatakan lebih banyak aplikasi dan juga sokongan yang akan diperkenalkan pada glyph matrix pada masa akan datang.
Cip Snapdragon 8s Gen 4

Phone (3) dikuasakan dengan cip Snapdragon 8s Gen 4 yang dibina menggunakan teknologi binaan 4nm. Walaupun tidak menggunakan cip Snapdragon 8 Elite namun cip ini mampu memberikan prestasi yang tinggi. Cip ini menggunakan konfigurasi CPU 8 teras dengan skor Antutu Benchmark mencecah sehingga 2 juta.

Menurut Nothing, cip ini menawarkan peningkatan sehingga 36% pada CPU, 88% pada GPU dan 60% pada AI berbanding Phone (2). Bukan itu sahaja, cip turut menawarkan peningkatan pada kemampuan kamera untuk menjadi pemprosesan imej lebih cekap dan pintar. Cip ini turut dipadankan dengan teknologi memori LPDRR5X untuk RAM dan UFS 4.0 untuk storan dalaman.
Kamera

Untuk menjadikan Phone (3) setanding dengan peranti andalan lain dari segi kemampuan kamera. Nothing tidak lagi menggunakan tetapan dwi-kamera sebaliknya menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor yang lebih baik.

Sensor utama 50MP 1/1.3″ + 50MP Ultra Lebar 1/2.76″ + 50MP Periskop 1/2.75” dan swafoto 50MP. Kamera periskop baru ini menyokong kemampuan zum yang lebih iaitu 3x optik zum, 6x in-sensor zum dan 60x AI super res zum.
Bukan itu sahaja, keupayaan kamera ini turut dibantu dengan teknologi TrueLens Engine 4.0 yang menyokong pelbagai ciri menarik seperti Ultra XDR, Auto Tone, Portrait Optimiser, Motion Capture Mode, Action Mode dan lain-lain. Untuk video, ia menyokong rakaman video pada resolusi 4K 60fps.
Kemas kini

Phone (3) menjadi peranti pertama dari Nothing yang akan menyokong kemas kini sehingga 7 tahun. Sebagai perbandingan, Phone (2) hanya menyokong kemas kini 3 tahun untuk Android dan 4 tahun untuk keselamatan.


Secara keseluruhan, Phone (3) akan menerima kemas kini sehingga 5 tahun untuk Android dan 7 tahun untuk keselamatan. Bermaksud, peranti ini akan menerima kemas kini sehingga tahun 2032. Dengan kemas kini sehingga 7 tahun ia menjadikan Phone (3) setanding pengeluar lain seperti Google, Samsung dan juga Apple.

Dengan menawarkan kemas kini yang lebih panjang, Nothing dijangka akan menjadi pilihan bagi pengguna yang mementingkan kepada kemas kini.