Close

Tecno Phantom Ultimate G Fold diperkenalkan – Fon tri-lipat paling nipis pernah dihasilkan

Tecno telah memperkenalkan fon tri-lipat baru mereka iaitu Phantom Ultimate G Fold merupakan pengganti kepada Phantom Ultimate 2 yang pernah diperlihatkan di acara MWC 2025.

Phantom Ultimate G Fold hadir dengan rekaan lipatan ke dalam atau inward-folding bagi membolehkan skrin utama dilindungi sepenuhnya apabila dilipat untuk mengurangkan risiko kerosakkan. Peranti ini menggunakan mekanisme dwi-engsel yang membolehkan ia dilipat secara sepenuhnya.

Phantom Ultimate G Fold merupakan fon tri-lipat paling nipis yang pernah dihasilkan setakat ini, hanya setebal 11.49mm apabila dilipat dan menjadi 3.49mm apabila dibuka sepenuhnya. Namun begitu, peranti ini hanyalah peranti konsep sahaja. Sebagai perbandingan, HUAWEI Mate XT yang ditawarkan secara komersil mempunyai ketebalan 12.8mm bila dilipat dan menjadi 3.6mm apabila dibuka sepenuhnya.

Untuk menjadikan rekaan yang nipis, Tecno menggunakan bahan binaan yang berkualiti tinggi seperti keluli tahan lasak 2000MPa dan panel belakang menggunakan Titan Fiber yang hanya setebal 0.3mm. Peranti ini hadir dengan skrin bersaiz 9.94-inci apabila dibuka sepenuhnya yang sesuai untuk kegunaan harian.

Walaupun hadir dengan rekaan yang nipis namun kapasiti bateri yang dimuatkan pada peranti ini adalah 5000mAh. Untuk fotografi, peranti ini hadir dengan tetapan tri-kamera belakang yang disusun secara melintang. Malangnya, maklumat seperti berat keseluruhan, cip yang digunakan, saiz paparan luar dan sensor kamera tidak didedahkan oleh Tecno.

Menurut Tecno, Phantom Ultimate G Fold akan diperlihatkan pada acara MWC 2026.

ARTIKEL BERKAITAN