Samsung dilihat komited dalam penjagaan kesihatan selepas membincangkan mengenai “The Next Chapter of Health: Scaling Prevention and Connected Care”. Perbincangan ini menekankan bagaimana teknologi boleh membantu dalam penjagaan kesihatan digital.

Melalui perbincangan tersebut, Samsung mendedahkan yang mereka akan menggunakan pendekatan yang berbeza dalam penjagaan kesihatan digital iaitu melalui gabungan AI, ekosistem peranti pintar dan juga integrasi klinikal.

Samsung juga tidak lagi melihat jam tangan pintar dan telefon sebagai gajet semata-semata tetapi sebagai ekosistem kesihatan digital yang saling bersambung. Selain itu, jam tangan pintar dan cincin pintar dilihat berpotensi menggantikan alat perubatan tradisional seperti monitor tekanan darah dan oximeter.
Samsung turut merancang untuk melakukan pelbagai kerjasama startegik merentas industri. Dalam pada itu, Samsung telahpun mengambil alih syarikat teknologi kesihatan iaitu Xealth yang mempunyai lebih dari 500 rangkaian hospital dan 70 penyedia penyelesaian digital kesihatan.

Dengan pengambil alihan ini ia membolehkan Samsung mengintegrasikan data daripada peranti Galaxy ke dalam sistem hospital dan aliran kerja klinikal. Selain itu, gabungan teknologi sensor BioActive Samsung dan juga ciri AI terbina dapat membantu memberikan maklumat kesihatan yang lebih tepat.
Bukan itu sahaja, Samsung akan turut mengintegrasikan SmartThings dalam penjagaan kesihatan. Ciri yang mungkin akan disokong seperti pemantauan kesihatan harian, peringatan tentang jadual ubat atau pemeriksaan berkala.