Close

Samsung Galaxy S25 FE tiba di Malaysia dengan harga bermula RM3099

Samsung Galaxy S25 FE tiba secara ke pasaran tempatan, merupakan pengganti kepada model semasa iaitu Galaxy S24 FE. Seperti yang kita tahu, siri FE menawarkan rekaan dan fungsi setanding model premium namun ditawarkan pada harga lebih rendah.

Galaxy S25 FE hadir dengan skrin Dynamic AMOLED X2 bersaiz 6.7-inci dengan resolusi FHD+. Turut menyokong paparan 120Hz dan kecerahan puncak 1900 nits. Dijana dengan cip Exynos 2400 yang dipadankan dengan 8GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB.

Menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 12MP Ultra Lebar + 8MP Telefoto. Manakala untuk swafoto, ia menggunakan sensor yang sama digunakan pada siri Galaxy S25 iaitu 12MP. Dimuatkan dengan bateri yang lebih besar iaitu 4900mAh yang menyokong pengecasan berwayar yang lebih pantas 45W dan pengecasan tanpa wayar 15W.

Galaxy S25 FE turut dimuatkan dengan pelbagai fungsi Galaxy AI yang sama seperti pada siri Galaxy S25. Antara fungsi Galaxy AI yang tersedia adalah seperti generative edit, audio eraser, photo assist, instant slow-mo dan lain-lain.

Spesifikasi lain yang turut ditawarkan adalah seperti Bluetooh 5.4, WiFi 6E, penarafan IP68, pembesar suara jenis stereo, pengimbas cap jari di bawah skrin dan menjalankan sistem operasi One UI 8 berasaskan Android 16. Samsung turut menjanjikan kemas kini seperti model andalan iaitu 7 tahun untuk Android dan keselamatan.

Di Malaysia, Samsung Galaxy S25 FE dijual pada harga RM3099 untuk 8GB + 256GB dan RM3699 untuk 8GB + 512GB. Ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Navy, Icy Blue, Jet Black dan White. Samsung Galaxy S25 FE akan mula dijual bermula 19 September 2025.

ARTIKEL BERKAITAN