Close

7 perkara menarik mengenai siri iPhone 17

Siri iPhone 17 telahpun diperkenalkan secara rasmi, hadir dengan empat pilihan model keseluruhan iaitu iPhone 17, iPhone Air, iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max. Tidak seperti generasi sebelumnya, siri iPhone 17 kini hadir dengan peningkatan yang lebih menarik dalam pelbagai aspek.

Model baru ‘iPhone Air’

Apple memperkenalkan pilihan model baru iaitu ‘Air’ bagi menggantikan model ‘Plus’ yang dilihat gagal mencapai standard yang sepatutnya. Seperti namanya, iPhone Air memfokuskan kepada rekaan yang lebih nipis dan lebih ringan, hanya setebal 5.6mm dengan berat 165 gram.

Bukan itu sahaja, model ini menggunakan bahan binaan Titanium Grade 5 dan turut dikuasakan dengan cip yang sama digunakan pada model Pro iaitu cip A19 Pro. Penggunaan nama ‘Air’ dikatakan sebagai salah satu cara menjadikan ia lebih popular berbanding menggunakan nama mini atau Plus.

iPhone Air diposisikan di antara model asas dan model Pro. Dengan pakej yang ditawarkan, model ini dijangka akan menjadi pilihan untuk pengguna yang sukakan rekaan yang nipis dan ringan dalam masa yang sama nampak mewah.

ProMotion 120Hz untuk semua

Selamat tinggal 60Hz dan selamat datang 120Hz, mungkin ayat sesuai untuk mengambarkan situasi ini. Apple akhirnya membawakan paparan 120Hz atau ProMotion pada model asas iaitu iPhone 17. Bukan itu sahaja, Apple turut membawakan ciri Always On Display (AOD) yang mana sebelum ini hanya tersedia pada model Pro sahaja.

Teknologi ProMotion mula diperkenalkan pada 2021 melalui model iPhone 13 Pro. Membolehkan kandungan dipaparkan secara adaptif dari 10Hz hingga 120Hz. Ciri ini secara bijak akan menurunkan paparan ke paras lebih rendah apabila memaparkan kandungan statik sekaligus dapat menjimatkan penggunaan bateri.

Ketibaan ciri ProMotion dan AOD pada iPhone 17 mungkin akan menjadi faktor atau sebab utama pengguna untuk menaik taraf. Pengguna kini tidak lagi perlu berbelanja lebih untuk menikmati kedua-dua ciri tersebut berbanding sebelum ini.

Rekaan baru

Selepas kekal dengan rekaan yang sama bertahun-tahun, Apple kini membawa perubahan ketara dari segi rekaan untuk siri iPhone 17. Model paling premium iaitu iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max menerima perubahan paling ketara, tampil dengan rekaan modul kamera baru yang berbentuk segi empat dengan bucu bulat.

Model baru iaitu iPhone Air pula turut hadir dengan rekaan menarik dan menonjol. Menggunakan rekaan yang nipis dengan modul kamera seperti Dynamic Island. Rekaan modul kamera iPhone Air boleh dikatakan mirip seperti Nexus 6P. Model asas iaitu iPhone 17 dilihat tampil dengan rekaan yang hampir sama seperti sebelumnya.

Cip baru untuk semua model

Apple memperkenalkan cip baru untuk siri iPhone 17, hadir dengan dua pilihan iaitu cip A19 dan A19 Pro. Cip ini dihasilkan dengan teknologi binaan 3nm generasi baru dari TSMC iaitu 3NP yang menawarkan prestasi lebih pantas dan kecekapan tenaga lebih baik berbanding generasi 3nm sebelumnya.

iPhone 17 dilengkapi dengan cip A19 sementara untuk iPhone 17 Air, iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max dikuasakan dengan cip yang lebih berkuasa iaitu A19 Pro. Cip ini kekal menggunakan konfigurasi CPU 6 teras dengan NPU 16 teras. Perbezaan ketara antara kedua-dua cip adalah A19 menggunakan GPU 5 teras sementara A19 Pro pula mempunyai GPU 6 teras.

Kapasiti bateri lebih besar

Apple turut membawakan peningkatan yang lebih baik pada kapasiti bateri untuk siri iPhone 17. Model yang menerima peningkatan bateri paling besar adalah iPhone 17 Pro dengan 19% diikuti iPhone 17 Pro Max dengan 9% dan iPhone 17 dengan 4%.

Untuk iPhone 17, ia dilengkapi dengan bateri 3692mAh, iPhone 17 Air 3149mAh, iPhone 17 Pro 4252mAh dan iPhone 17 Pro Max 5088mAh. Sebagai perbandingan, kapasiti bateri untuk siri iPhone 16 adalah 3561mAh untuk iPhone 16, 2915mAh untuk iPhone 16 Plus, 3355mAh untuk iPhone 16 Pro dan 4676mAh untuk iPhone 16 Pro Max.

Tiada lagi storan 128GB

Apple tidak lagi menawarkan storan dalaman bermula 128GB untuk siri iPhone 17 sebaliknya bermula dengan 256GB. Storan dalaman 128GB dilihat tidak lagi relevan pada ketika ini memandangkan aplikasi, imej atau video menggunakan saiz fail yang besar.

Selain itu, Apple kini menawarkan pilihan storan dalaman yang lebih besar iaitu sehingga 2TB. Walau bagaimanapun, hanya tersedia untuk model iPhone 17 Pro Max sahaja.

Pengecasan lebih pantas

Apple mengesahkan yang iPhone 17, iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max kini menyokong pengecasan yang lebih pantas dengan menggunakan pengecas USB-C yang serasi. Menurut Apple, peranti tersebut boleh dicas 50% hanya dalam masa sekitar 20 minit berbanding pada siri iPhone 16 yang mengambil masa lebih panjang 30 minit untuk tahap bateri yang sama. Manakala untuk iPhone Air, ia menyokong pengecasan yang setara dengan siri iPhone 16.

Apple turut memperkenalkan aksesori baru iaitu 40W Dynamic Power Adapter yang menawarkan pengecasan pantas maksimum pada 60W. Untuk pasaran Malaysia, aksesori ini dijual pada harga RM169 tanpa kabel USB-C.

ARTIKEL BERKAITAN