OPPO mengesahkan, siri Find X9 akan tiba ke pasaran global pada 28 Oktober ini. Buat yang tidak mengetahui, siri Find X9 baru sahaja dilancarkan di pasaran China.

Di China, siri Find X9 ditawarkan dengan dua pilihan model iaitu Find X9 dan Find X9 Pro. Dikuasakan dengan cip terbaru dari MediaTek iaitu Dimensity 9500. Menggunakan rekaan premium dengan modul serba baru yang lebih menarik.

Siri Find X9 dilengkapi dengan kamera Hassleblad dengan sistem pengimejan LUMO. Turut hadir dengan pelbagai ciri menarik seperti stage mode, AI sound focus, AI Portrait Glow, AI Recorder dan AI Mind Space. Untuk Find X9, ia hadir dengan skrin bersaiz 6.59-inci dengan bateri 7025mAh. Manakala untuk Find X9 Pro, ia hadir dengan skrin bersaiz 6.78-inci dengan bateri 7500mAh.

Seiring dengan ketibaan peranti ini, OPPO Malaysia telah membuka pra-tempahan awal bermula 17 hingga 28 Oktober dengan rebat sebanyak RM50. Selain itu, setiap pra-tempahan akan menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM1182. Buat masa ini, tiada maklumat yang dikongsi mengenai harga jualan rasmi untuk peranti ini.