RedMagic 11 Pro tiba secara rasmi ke pasaran global, menggunakan nama berbeza berbanding pasaran China yang dikenali sebagai RedMagic 11 Pro+.
It's beautiful😭 pic.twitter.com/8X6x31bpPq
— REDMAGIC (@redmagicgaming) October 31, 2025
Perkara menarik mengenai RedMagic 11 Pro adalah ia merupakan telefon pintar pertama hadir dengan sistem penyejukan cecair yang sama seperti digunakan pada PC. Sistem penyejukan cecair ini dipanggil sebagai AquaCore yang dipadankan dengan plat vapor chamber bersaiz besar. Menjadikan ia lebih menarik, aliran atau pergerakkan cecair untuk sistem penyejukan tersebut boleh dilihat melalui panel belakang.

Bercakap mengenai spesifikas, RedMagic 11 Pro hadir dengan skrin OLED BOE X10 bersaiz 6.85-inci dengan paparan 144Hz. Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang dipadankan dengan RAM sehingga 24GB LPDDR5T dan storan dalaman sehingga 1TB UFS 4.1.

Menggunakan tetapan dwi-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 50MP Ultra Lebar dan swafoto 16MP yang diletakkan di bawah skrin. Dimuatkan dengan bateri 7500mAh yang menyokong pengecasan 120W berwayar dan 80W tanpa wayar.

Spesifikasi yang turut dibawakan seperti penarafan IPX8, pengimbas cap jari bawah skrin, pembesar suara jenis stereo, IR Blaster dan menjalankan sistem operasi RedMagic OS 11 berasaskan Android 16. Untuk pasaran global, RedMagic 11 Pro dijual pada harga bermula sekitar $699 (RM2945).

Peranti ini akan turut ditawarkan ke beberapa pasaran lain termasuk Asia Pasifik, Amerika Latin dan Timur Tengah. Buat masa ini, tiada maklumat mengenai ketibaan peranti ini ke pasaran tempatan.