Siri realme 16 Pro belum lagi diumumkan namun rekaan peranti tersebut telahpun diperlihatkan secara rasmi. Peranti ini akan diperkenalkan pada 6 Januari dan ditawarkan dalam dua pilihan model iaitu realme 16 Pro dan realme 16 Pro+.

Menarik mengenai siri realme 16 Pro adalah ia direka dan dihasilkan oleh pereka Jepun iaitu Naoto Fukasawa. Individu yang sama menghasilkan rekaan model ikonik realme iaitu GT Master dan GT Explorer. Rekaan yang digunakan pada siri realme 16 Pro dipanggil sebagai Urban Wild Design.


Siri realme 16 Pro hadir dengan empat pilihan warna iaitu Master Grey, Master Gold, Camellia Pink dan Orchid Purple, dengan dua warna terakhir eksklusif untuk pasaran India sahaja. Siri realme 16 Pro menggunakan rekaan yang minimalis dengan kemasan premium.

Rekaan panel belakang peranti ini menggunakan bahan bio-based silikon organik untuk memberikan tekstur seperti kulit tiruan. Rekaan modul kamera mirip seperti OnePlus namun dengan kemasan dan susunan modul kamera yang berbeza.

Siri realme 16 Pro masih mengekalkan rekaan jenis melengkung untuk menjadikan ia terasa lebih premium dan juga nipis. Siri realme 16 Pro dijangka hadir dengan tiga kamera belakang, bateri 7000mAh, pengecasan 80W dan menjalankan Android 16.