Close

Apple perkenal MacBook Pro dengan cip M5 Pro dan M5 Max – Harga bermula RM8999

Apple secara rasmi memperkenalkan MacBook Pro 14-inci dan 16-inci generasi baru yang dikuasakan dengan cip M5 Pro dan M5 Max. Model ini menawarkan peningkatan preasti ketara dari segi CPU, GPU dan juga keupayaan AI.

Cip M5 Pro dan M5 Max dihasilkan dengan seni bina baru iaitu Fusion Architecture yang menggabungkan dua cip dalam satu sistem. Cip ini dilengkapi dengan CPU sehingga 18 teras dan GPU generasi baru dengan Neural Accelerator tersedia pada setiap teras.

Menawarkan prestasi AI 4 kali ganda lebih pantas berbanding generasi sebelumnya dan prestasi GPU kini 50% lebih berkuasa. Sekali gus, membolehkan ia melakukan penjanaan imej AI dan pemprosesan video kompleks secara terus pada MacBook Pro.

Kedua-dua cip ini menyokong konfigurasi memori yang lebih pantas, untuk M5 Pro ia menyokong sehingga 64GB unified memori berkelajuan 307GB/s sementara M5 Max menyokong sehingga 128GB unified memori yang berkelajuan 614GB/s. Pilihan storan turut dipertingkat, untuk M5 Pro storan yang ditawarkan bermula dari 1TB, manakala untuk M5 Max pula bermula dengan 2TB storan.

Model ini hadir dengan skrin Liquid Retina XDR dengan pilihan kemasan nano texture dan dimuatkan dengan cip Apple N1 untuk WiFi 7 dan Bluetooh 6. Untuk spesifikasi lain, ia hadir dengan 3x Thunderbolt 5, slot kad SDXC, MagSafe 3, kamera 12MP Center Stage, mikrofon bertaraf studio, dan enam pembesar suara terbina. Menurut Apple, MacBook Pro ini mampu menawarkan penggunaan bateri sehingga 24 jam.

Di Malaysia, MacBook Pro 14-inci dengan cip M5 Pro dijual pada harga bermula RM8999 manakala untuk 16-inci pula dijual pada harga bermula RM10,999. MacBook Pro 14-inci dengan cip M5 Max pula dijual pada harga bermula RM14,999 dan bermula RM15,999 untuk 16-inci.

ARTIKEL BERKAITAN