iQOO 15R hadir sebagai fon andalan mampu milik yang memberi fokus kepada prestasi dan pengalaman penggunaan yang menyeluruh. Untuk itu, ini adalah empat perkara utama yang menjadikan peranti ini menarik.
Rekaan

iQOO 15 bukan sahaja tampil dengan rekaan yang moden dalam masa yang sama masih memfokuskan kepada keselesaan pengguna. Peranti ini hanya setebal 74.42mm iaitu 0.83mm lebih nipis berbanding fon lain dalam kelas yang sama.

Perbezaan ini mungkin nampak kecil, namun ia memberi kesan yang besar dari segi cengkaman. Rekaan sisi yang rata turut menjadikan ia lebih selesa apabila dipegang dalam waktu yang panjang. Rangka peranti ini menggunakan binaan aluminium gred aeroangkasa sekaligus menawarkan ketahanan yang lebih baik.

Panel belakang peranti ini menggunakan binaan kaca untuk memberi rasa yang lebih premium. Kemasan yang digunakan adalah jenis kesat dan terdapat corak khas untuk menjadikan ia lebih menarik dan berbeza.

Menggunakan skrin jenis rata bersaiz 6.59-inci yang mudah untuk dikawal biarpun dengan hanya sebelah tangan. Skrin peranti ini turut menyokong resolusi 1.5K, paparan 144Hz dan kecerahan puncak sehingga 5000 nits. Keupayaan skrin peranti ini sememangnya cukup baik untuk permainan mahupun menonton kandungan sosial.
Prestasi

Kemampuan prestasi pada peranti ini sememangnya cukup mengagumkan. Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Gen 5 yang dipadankan dengan RAM 12GB LPDRR5X Ultra dan storan dalaman sehingga 512GB UFS. Terdapat juga cip Q2, yang digunakan untuk meningkatkan pengalaman visual dan juga permainan.

Cip ini mengggunakan binaan 3nm dengan seni bina CPU Qualcomm Oryon. Bukan itu sahaja, iQOO 15R turut dipadankan dengan LPDDR5X Ultra RAM berkelajuan sehingga 9600 Mbps serta storan UFS 4.1 generasi terkini. Cip ini menjanjikan peningkatan prestasi sehingga 36% untuk CPU dan 11% untuk GPU, jadi pretasi bukan masalah utama peranti ini.

Bukan itu sahaja, cip ini turut menjanjikan kecekapan kuasa yang lebih baik sehingga 42% untuk CPU dan 28% untuk GPU. Bagi menjamin prestasi yang optimum, peranti ini turut dimuatkan dengan 6.5K IceCore VC Cooling System yang direka untuk mengawal haba dengan lebih efisien.
Gabungan cip yang berkuasa dan sistem penyejukan yang agresif menunjukkan iQOO benar-benar serius dalam menghasilkan peranti yang berkualiti sesuai untuk pelbagai lapisan pengguna.
Sistem operasi

Tidak hanya menawarkan prestasi yang berkuasa, peranti ini turut hadir dengan pengalaman penggunaan yang baik melalui sistem operasi. iQOO menjanjikan peranti ini kekal lancar biarpun selepas 5 tahun penggunaan. Perkara tersebut dicapai melalui gabungan optimasi perisian dan juga perkakasan.
Bercakap mengenai sistem operasi, iQOO 15R tidak lagi menggunakan sistem operasi FunTouch OS sebaliknya diganti dengan Origin OS 6 yang berasaskan Android 16. OriginOS 6 hadir dengan pelbagai peningkatan menarik merangkumi antara muka yang lebih baik, prestasi yang lebih lancar dan sokongan pelbagi ciri baru yang menarik.

Menariknya, iQOO menjanjikan kemas kini yang panjang untuk peranti ini iaitu sehingga 4 tahun untuk Android dan 6 tahun untuk keselamatan. Kemas kini perisian yang lebih panjang memberikan nilai tambah dan manfaat yang lebih baik untuk pengguna terutamanya dari segi keselamatan, prestasi dan nilai untuk jangka panjang.
Bateri

Walaupun hadir dengan rekaan yang nipis, namun peranti ini dimuatkan dengan kapasiti bateri yang besar iaitu 7500mAh. Bateri ini menggunakan teknologi 4th-Gen Silicon Anode untuk membolehkan ia memuatkan kapasiti bateri yang lebih besar dengan saiz yang nipis.
Menurut iQOO, peranti ini boleh dicas dari 1% ke 50% hanya dalam masa 33 minit dengan pengecas 100W FlashCharge. Selain itu, peranti ini menyokong ciri Instant Wake yang membolehkan sistem dihidupkan semula hanya dalam 2 saat disebabkan bateri kosong.

Terdapat juga beberapa ciri lain Smart Prediction dan juga Advanced Bypass Charging. Kedua-dua ciri membantu untuk melindungi kesihatan bateri jangka panjang. Bateri ini turut mampu bertahan pada suhu ekstrem sepert suhu rendah -20°C atau suhu tinggi 35°C.
Di Malaysia, iQOO 15R ditawarkan pada harga RM2499 (12GB + 256GB) dan RM2699 (12GB + 512GB). Tersedia dalam dua pilihan warna Pixel Silver dan Dark Knight. Boleh didapati melalui TikTok Shop rasmi iQOO, Shopee, Lazada dan vivo Concept Store.