Laporan terbaru mengenai iPhone Fold mendedahkan peranti ini akan dijual pada harga bermula sekitar CNY15,999 (RM9124).

iPhone Fold dijangka hadir dalam tiga pilihan storan iaitu 256GB, 512GB dan juga 1TB. Konfigurasi memori ini akan dipadankan dengan 12GB RAM LPDDR5X dari Samsung. Harga jualan peranti ini akan bermula sekitar CNY15,999 (RM9124) untuk 256GB, CNY17,999 (RM10,271) untuk 512GB dan CNY19,999 (RM11,404) untuk 1TB.
Laporan tersebut turut mendedahkan, peranti ini akan dilengkapi dengan teknologi Touch ID bukan Face ID dan mempunyai antara muka seperti iPad mini, untuk memberikan pengalaman visual yang lebih baik. Walau bagaimanapun, iPhone Fold akan menggunakan sistem operasi iOS bukan iPadOS.
Selain itu, Apple mungkin tidak akan menggunakan nama iPhone Fold sebaliknya menggunakan nama yang lain iaitu iPhone Ultra, sebagai model paling premium dalam siri iPhone.