nubia mengesahkan yang Z60 Ultra akan tiba untuk pasaran tempatan pada 25 Disember ini. Peranti ini telahpun dilancarkan lebih awal di China. Berbeza dengan peranti sebelum ini, Z60 Ultra hadir dengan rekaan kamera yang unik bersama dengan spesifikasi yang dipertingkat.

Z60 Ultra dilengkapi dengan skrin AMOLED bersaiz 6.8-inci dengan paparan 120Hz. Turut menyokong PWM Dimming 2160Hz, touch sampling rate 1200Hz dan kecerahan puncak 1500 nits. Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 yang dipadankan dengan RAM LPDDR5X sehingga 16GB dan storan dalaman sehingga 512GB UFS 4.0.

Dari segi fotografi, ia hadir dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama IMX800 50MP OIS (35mm) + 50MP ultra lebar (18mm) + 64MP OBV64B telefoto (85mm). Manakala untuk swafoto, ia menggunakan sensor 12MP yang diletakkan di bawah skrin (UDC) yang dikuasakan dengan cip khas berkemampuan AI.

Bateri 6000mAh dimuatkan yang menyokong pengecasan pantas 80W. Spesifikasi lain yang turut dibawakan adalah seperti penarafan IP68, WiFi 7, sistem penyejukan gred aeroangkasa dan menjalankan sistem operasi MyOS berasaskan Android 14.

Z60 Ultra ditawarkan dalam 2 pilihan varian dengan harga bermula RM3499 untuk 12GB + 256GB dan RM4299 untuk 16GB + 256GB. Bersempena dengan pelancarannya pada 25 Disember hingga 24 Januari, peranti ini akan dijual lebih murah iaitu RM2899 untuk 12GB + 256GB dan RM3499 untuk 16GB + 256GB.