Percayakah anda telefon lipat boleh menjadi senipis 9.9mm dan seringan 231gram sahaja. Itulah yang terjadi kepada telefon lipat generasi ketiga dari HONOR iaitu Magic V2.

Magic V2 telahpun diperkenalkan secara rasmi di Malaysia dan merupakan telefon lipat paling nipis dan ringan di pasaran ketika ini. Tampil dengan pelbagai peningkatan menarik bersama dengan teknologi terbaru dari HONOR.
Rekaan

Untuk rekaan, Magic V2 sememangnya berada dalam kelasnya yang tersendiri dan berbeza dari telefon lipat yang pernah kami cuba sebelum ini. Nipis dan ringan adalah perkataan pertama yang muncul selepas memegang telefon lipat ini.

Untuk menjadikan Magic V2 nipis dan ringan, HONOR menggunakan engsel Shield Steel dari binaan titanium alloy. Menurut HONOR, titanium alloy adalah 42% lebih ringan dari binaan stainless steel. Selain itu, ia juga 25% lebih nipis dan 20% lebih lasak berbanding binaan yang digunakan pada kebanyakkan telefon lipat.
Dengan menggunakan engsel ini, Magic V2 boleh dilipat dengan lebih rapat tanpa meninggalkan sebarang ruang. Magic V2 ini dikatakan mampu bertahan sehingga 400,000 lipatan iaitu bersama dengan 10 tahun jika dilipat 100 kali sehari.

Dari segi keselesaan membuka dan menutup, kami rasakan yang Magic V2 adalah lebih selesa dan lebih firm berbanding telefon lipat yang kami cuba sebelum ini. Secara keseluruhan apa yang boleh kami katakan rekaan pada Magic V2 adalah sangat baik dan sangat kukuh.
Skrin

Magic V2 hadir dengan skrin utama bersaiz 7.92-inci OLED LTPO dan skrin kedua bersaiz 6.43-inci OLED LTPO. Kedua-dua skrin menyokong paparan adaptif 120Hz, PWM Dimming 3840Hz, DCI-P3, 1.07 bilion warna dan kecerahan puncak 2600 nits. Selain itu, Magic V2 merupakan telefon lipat pertama yang menyokong stylus pada kedua-dua skrin.

Perkara yang kami suka mengenai Magic V2 adalah, apabila dilipat ia boleh digunakan seperti telefon biasa dengan skrin luar yang besar iaitu 6.43-inci. Menjadikan skrin luar peranti boleh digunakan untuk pelbagai perkara tanpa perlu membukanya. Keupayaan skrin luar peranti ini juga sangat baik dan imersif.

Untuk skrin dalaman, ia menggunakan skrin bersaiz 7.92-inci dengan nisbah skrin 9.78:9. Menawarkan pengalaman skrin yang baik sesuai untuk menonton pelbagai kandungan. Kesan lipatan kini lebih minimal, sekaligus memberi pengalaman penggunaan skrin lebih baik.

Magic V2 ini turut menyokong beberapa fungsi penjagaan mata seperti Circadian night display dan Dynamic dimming yang memberikan keselesaan pada mata biarpun menggunakan peranti dalam jangka masa yang panjang.
Sistem operasi dan penggunaan

Magic V2 menjalankan sistem operasi Magic OS 7.2 berasaskan Android 13. Secara keseluruhan, sistem operasi yang digunakan pada peranti ini boleh dikatakan agak baik. Mampu menjalankan tugas dengan sangat baik dan terdapat pelbagai fungsi menarik yang dimuatkan.

Antara fungsi menarik yang dibawakan pada Magic V2 adalah seperti Mini window, Hover mode, Parallel space, AI privacy call 2.0 dan lain-lain. Untuk Mini window ia menukar aplikasi menjadi tetingkap kecil yang terapung. Manakala Hover mode, membolehkan akan menggunakan telefon lipat seperti komputer riba. Fungsi Parallel space membolehkan anda mengasingkan data kerja dan peribadi sementara AI Privacy call 2.0 pula melindungi panggilan telefon dari didengari pihak ketiga.

Dari segi multi-task, Magic V2 menyokong dua fungsi Split screen iaitu secara horizontal dan vertical. Fungsi ini membolehkan 4 aplikasi dibuka secara serentak sekaligus, membolehkan pengguna melakukan pelbagai tugas dengan lebih produktif dan efektif.

Magic V2 dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 yang dipadankan dengan 16GB RAM menjanjikan pengalaman penggunan yang mengagumkan. Tiada sebarang masalah yang dihadapi, semua aplikasi dapat dijalankan dengan lancar dan permainan boleh dimainkan pada tetapan tinggi tanpa sebarang isu.
Bateri

Peranti ini dimuatkan dengan bateri 5000mAh dengan rekaan paling nipis di pasaran ketika ini. Menggunakan teknologi silikon-karbon dengan ketebalan hanya 2.72mm dan mampu menawarkan jangka hayat 40% lebih baik. Dari segi pengecasan, ia menyokong pengecasan pantas SuperCharge 66W.
Satu perkara yang tidak perlu dirisaukan adalah mengenai ketahanan bateri. Dengan gabungan kapasiti bateri yang besar dan pengecasan pantas peranti ini mampu memberikan waktu penggunaan yang lebih panjang.

Untuk penggunaan biasa, ia mampu mencapai Screen On Time (SOT) 8 hingga ke 9 jam dengan waktu penggunaan sekitar 13 hingga 14 jam. Manakala untuk penggunaan yang lebih berat, ia menurun kepada 6 hingga ke 7 jam. Untuk mendapatkan jangka hayat bateri yang lebih panjang, kami sarankan untuk anda menggunakan skrin kedua. Namun begitu, ketahanan bateri bergantung kepada penggunaan dan ia mungkin berbeza bagi setiap pengguna.
Kamera

Hadir dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP OIS + 50MP ultra sudut lebar + 20MP telefoto OIS. Keupayaan kamera peranti ini dijana dengan HONOR Falcon Camera System untuk memberikan imej yang berkualiti dan lebih terperinci. Manakala untuk swafoto, ia hadir dengan sensor 16MP pada skrin luar dan 16MP pada skrin dalam.

Secara keseluruhan, kemampuan kamera pada Magic V2 adalah baik. Untuk waktu dengan cahaya yang cukup, imej yang dihasilkan cemerlang dengan dynamic range, shadow dan warna yang dihasilkan cukup baik. Namun, pada sesetengah situasi ketajaman imej yang dihasilkan tidak begitu baik dan HDR kadang-kala tidak konsisten.

Pada keadaan kurang cahaya, kamera utama Magic V2 masih lagi menawarkan imej dengan perincian yang baik dan kurang masalah lens flare. Manakala untuk kamera telefoto, kami lebih suka menggunakan 2.5x zum yang memberikan hasil imej dengan perincian yang lebih baik berbanding 10x zum.

Untuk video, peranti ini menyokong resolusi sehingga 4K 60fps dan terdapat juga mod khas video yang dipanggil sebagai movie. Kualiti video pada Magic V2 ini boleh dikatakan agak baik namun cenderung untuk memberikan hasil rakaman yang kadang kala oversharpen dan tona warna yang tidak konsisten.
Kesimpulan

Magic V2 boleh dikatakan sebagai salah satu telefon lipat paling menarik untuk tahun ini. Tampil dengan rekaan yang nipis dan ringan bersama dengan pelbagai teknologi termaju yang berbeza dari apa yang ditawarkan di pasaran ketika ini.
Selain itu, HONOR juga dilihat berjaya untuk mengubah landskap telefon lipat pada ketika ini melalui Magic V2. Dengan kejayaan ini, kita mungkin akan melihat lebih banyak penawaran yang lebih menarik akan dibawakan oleh HONOR pada telefon lipat mereka yang seterusnya.