Close

Ulasan Samsung Galaxy S25 Plus – Resipi sama tapi lebih inovasi

Samsung Galaxy S25+ telahpun tiba secara rasmi ke pasaran tempatan. Model ini boleh dikatakan sebagai pilihan terbaik sekiranya anda merasakan Galaxy S25 Ultra tidak berapa sesuai dengan anda. Bukan itu sahaja, model ini turut menawarkan keupayaan yang hampir sama seperti model paling premium iaitu Galaxy S25 Ultra.

Rekaan

Seperti model sebelumnya, Samsung masih menggekalkan dan menggunakan identiti yang sama pada Galaxy S25+. Namun, terdapat beberapa perubahan kecil yang dibawakan untuk memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik.

Galaxy S25+ kini tampil dengan rekaan yang lebih nipis iaitu 0.4mm dan lebih ringan iaitu 9 gram berbanding model sebelumnya. Peranti ini kekal menggunakan rekaan jenis berkotak yang dipadankan dengan rekaan sisi jenis rata. Rekaan ini sememangnya memberikan kelebihan ketika dipegang. Namun begitu, peranti terasa sedikit licin sekiranya digunakan tanpa kerangka pelindung. Jadi, anda disarankan untuk menggunakan peranti ini bersama dengan kerangka pelindung.

Masih menggekalkan kemasan panel belakang jenis kesat yang memberikan cengkaman yang lebih baik dan lebih tahan kotor. Sejujurnya, kami lebih menyukai kemasan jenis kesat berbanding kemasan jenis berkilat yang mudah tinggalkan kesan cap jari. Samsung masih menggunakan rekaan kamera yang sama namun kini menggunakan satu pilihan warna sahaja pada modul kamera iaitu hitam.

Dari segi pilihan warna, Samsung hadir dengan 4 pilihan warna iaitu Navy, Icyblue, Silver shadow dan Mint. Samsung turut menawarkan 3 pilihan warna eksklusif yang hanya ditawarkan melalui Samsung.com iaitu Blueblack, Coralred dan Pinkgold.

Selain rekaan, Samsung turut mengekalkan saiz skrin yang sama iaitu AMOLED 2X bersaiz 6.7-inci dengan resolusi FHD+. Turut menyokong paparan Super Smooth 120Hz, Vision Booster dan dilindungi dengan Gorilla Glass Victus 2. Tidak ketinggalan, peranti ini turut menyokong kecerahan puncak sehingga 2600 nits yang memberikan penggunaan yang lebih baik di bawah matahari.

Secara keseluruhan, keupayaan skrin pada Galaxy S25+ sememangnya sangat cemerlang dengan warna dan perincian yang diberikan cukup jelas dan terang. Bukan itu sahaja, sudut pandangan juga sangat baik dan responsif.

Walaupun tanpa perubahan rekaan yang ketara, Galaxy S25+ masih membawakan rekaan yang baik dan sesuai dengan era masa kini. Namun begitu, kami mengharapkan sesuatu yang berbeza pada rekaan peranti ini dan perkara tersebut tidak berlaku.

Prestasi

Jika model sebelumnya hadir dengan cip Exynos namun untuk kali ini ia dikuasakan dengan cip Snapdragon. Lebih menarik, cip ini menerima peningkatan yang lebih baik dan lebih berkuasa berbanding cip Snapdragon 8 Elite yang digunakan pada kebanyakkan pengeluar.

Cip Snapdragon 8 Elite For Galaxy menawarkan peningkatan prestasi CPU sehingga 37%, GPU sehingga 30% dan NPU sehingga 40% berbanding cip Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy atau cip Exynos 2400 yang digunakan pada siri Galaxy S24.

Bukan itu sahaja, cip ini turut menawarkan peningkatan pada keupayaan kecerdasan buatan (AI) sekaligus meningkatkan lagi kemampuan Galaxy AI. Bercakap mengenai prestasi, apa yang boleh dikatakan cip ini menawarkan prestasi yang mengagumkan. Tiada masalah prestasi yang dihadapi sepanjang penggunaan.

Untuk menjamin prestasi yang optimum, Samsung telah menambahbaik sistem penyejukkan sekaligus menjanjikan suhu peranti sentiasa di paras terbaik. Secara keseluruhan, prestasi yang ditawarkan pada peranti ini sangat memberangsangkan sesuai untuk pelbagai jenis tugasan.

Sistem operasi

Sistem operasi mungkin boleh dikatakan sebagai perubahan terbesar pada Galaxy S25+. Melaluinya, Samsung hadir dengan pelbagai peningkatan yang lebih menarik. Peranti ini menjalankan sistem operasi terkini dari Samsung iaitu One UI 7 yang dibina berasaskan Android 15.

One UI 7 hadir dengan antaramuka yang lebih kemas dan menarik berbanding generasi sebelumnya. Samsung telah mereka semula dan menambah baik ikon yang digunakan, sokongan widget baru, control center yang lebih minimal dan pilihan warna palette yang lebih segar. Bukan itu sahaja, lock screen kini turut menyokong pelbagai jenis font, style dan color yang lebih menarik.

Tidak ketinggalan, sistem operasi ini turut hadir dengan pelbagai fungsi baru yang dikuasakan oleh Galaxy AI. Melaluinya, ia dapat meningkatkan lagi produktivi dan juga kreativi pengguna ke tahap yang lebih baik. Antara fungsi Galaxy AI baru yang diperkenalkan oleh Samsung adalah seperti Audio Eraser, Gallery Search, Now Brief, Auto Trim dan lain-lain.

Terdapat juga fungsi Now Bar yang mirip seperti Dynamic Island namun diletakkan di bawah bahagian dan dipaparkan pada lock screen. Now Bar akan memaparkan informasi dan memberikan kemas kini masa nyata pada skrin hadapan ketika dikunci.

Seperti mana model sebelumnya, Samsung turut menjanjikan kemas kini yang lebih panjang untuk Galaxy S25+ iaitu sehingga 7 tahun. Yang mana, kemas kini ini merangkumi kemas kini Android dan juga kemas kini keselamatan.

Kamera

Seperti mana rekaan, Samsung masih mengekalkan konfigurasi kamera yang sama seperti model sebelumnya. Dilengkapi dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP OIS +10MP Telefoto OIS +12MP Ultra Lebar. Untuk swafoto ia hadir dengan sensor sebesar 12MP. Biarpun masih menggunakan tetapan kamera yang sama namun masih terdapat peningkatan yang dibawakan pada peranti ini.

Secara keseluruhan, kemampuan kamera ini boleh dikatakan cukup baik untuk pelbagai situasi dan keadaan. Untuk situasi dengan cahaya yang cukup, ia mampu menghasilkan imej yang baik dengan warna yang konsisten. Selain itu, imej yang dihasilkan juga lebih terang dan hampir kepada keadaan sebenar dan butiran yang diberikan juga cukup jelas.

Bagi situasi dengan cahaya rendah, kamera peranti ini masih mampu memberikan hasil imej yang terang dan jelas. Bukan itu sahaja, perincian dan tona warna juga dapat dikekalkan dengan cukup baik. Kemampuan kamera ini turut dibantu dengan ProVisual Engine yang menawarkan tona kulit lebih semula jadi, tekstur yang dipertingkat dan warna lebih tepat biarpun pada keadaan cahaya rendah.

Keupayaan kamera telefoto dan potrait pada Galaxy S25+ juga cukup baik dengan imej yang dihasilkan nampak tajam, perincian dapat dikekalkan dan potongan bokeh juga kemas. Antaramuka aplikasi kamera juga turut dipertingkat kini lebih tersusun dan mudah untuk diakses.

Samsung turut menawarkan fungsi filters, membolehkan pengguna mengubahsuai filter atau memuat turun filter untuk digunakan pada imej yang diambil. Untuk video, Galaxy S25+ kini menyokong Galaxy-LOG untuk Color Grading dan rakaman video sehingga 8K 30 fps.

Bateri

Galaxy S25+ dilengkapi dengan kapasiti bateri dan teknologi pengecasan yang sama seperti Galaxy 24+. Dimuatkan dengan bateri 4900mAh yang dipadan dengan pengecasan 45W berwayar, 15W tanpa wayar dan 4.5W reverse wireless charging. Galaxy S25+ mampu mengecas dari 0% ke 62% dalam masa 30 minit manakala untuk pengecasan penuh ia mengambil masa sekitar 70 minit. Untuk ketahanan bateri, peranti ini mampu bertahan seharian untuk penggunaan biasa.

Berdasarkan penggunaan kami, peranti ini menawarkan Screen On Time (SOT) sekitar 6 jam dan ke atas. Penggunaan kami lebih ke arah kasual seperti media sosial, bermainan permainan, menggunakan navigasi, melakukan suntingan dan sebagainya.

Sekiranya peranti ini digunakan untuk penggunaan yang lebih ringan ia mampu menawarkan jangka hayat bateri yang lebih panjang, mungkin mencapai SOT sehingga 7 jam dan ke atas. Namun begitu, suka untuk diingatkan ketahanan bateri bergantung kepada cara penggunaan dan mungkin berbeza bagi setiap pengguna.

Kesimpulan

Galaxy S25+ mungkin boleh dianggap sebagai fon yang lengkap dan sensasi. Perkara tersebut boleh dilihat melalui penawarannya hadir dengan spesifikasi yang berkuasa, skrin yang cantik, ketahanan bateri yang baik dan juga fungsi yang dijana oleh Galaxy AI.

Dari segi rekaan, ia mungkin sedikit keterbelakang berbanding peranti lain namun jika dilihat dari sudut yang berbeza Samsung berjaya menjadikan peranti ini lebih versatile.

ARTIKEL BERKAITAN