Close

HONOR Magic V5 akan tiba di Malaysia pada 15 Julai ini

HONOR Malaysia telah menjadualkan acara pelancaran fon lipat baru mereka iaitu Magic V5 pada 15 Julai 2025. Acara pelancaran ini boleh ditonton melalui laman Facebook rasmi HONOR Malaysia.

Sebelum ini, HONOR telahpun mendedahkan beberapa maklumat mengenai Magic V5. Peranti ini hanya setebal 8.8mm apabila dilipat dan menjadi 4.1mm apabila dibuka. Sebagai perbandingan, Magic V3 adalah lebih tebal iaitu sekitar 9.2mm apabila dilipat dan 4.35mm apabila dibuka.

Walaupun hadir dengan rekaan yang nipis namun peranti ini akan dimuatkan dengan kapasiti bateri yang besar iaitu 5820mAh serta menyokong pengecasan pantas 66W berwayar dan 50W tanpa wayar. Bukan itu sahaja, Magic V5 akan turut mempunyai ketahanan yang lebih baik melalui penarafan IP58 dan IP59.

Dari segi fotografi, Magic V5 akan dilengkapi dengan kamera telefoto 64MP yang menawarkan kemampuan zum sehingga 100x melalui AI super zoom. Selain itu, HONOR mendakwa engsel yang digunakan pada Magic V5 ini mampu bertahan sehingga 500,000 lipatan.

Buat masa ini, hanya spesifikasi penuh dan harga jualan sahaja yang masih menjadi rahsia. Seperti biasa, maklumat tersebut hanya akan diketahui pada acara pelancarannya kelak.

ARTIKEL BERKAITAN