Fon lipat generasi ketujuh dari Samsung iaitu Galaxy Z Fold7 telahpun tiba secara rasmi ke pasaran tempatan. Berbeza dari generasi sebelumnya, kali ini Galaxy Z Fold7 tampil lebih menyerlah dalam pelbagai aspek. Selain itu, peningkatan ini bukan sekadar naik taraf tetapi boleh dikatakan sebagai simbol kematangan teknologi dari Samsung.
Rekaan

Perkara pertama yang anda akan perasan pada Galaxy Z Fold7 adalah pada rekaan yang lebih nipis dan juga ringan. Galaxy Z Fold7 hanya setebal 8.9mm apabila dilipat dan menjadi 4.2mm apabila dibuka. Sebagai perbandingan, Galaxy Z Fold6 mempunyai ketebalan 12.1mm apabila dilipat dan 5.6mm apabila dibuka.

Dari segi berat pula, Galaxy Z Fold7 hanya seberat 215gram berbanding 239gram pada Galaxy Z Fold6. Bukan itu sahaja, Galaxy Z Fold7 juga lebih ringan berbanding Galaxy S25 Ultra dengan berat 218gram. Dengan rekaan yang nipis dan ringan ia menjadikan peranti ini terasa lebih selesa bila dipegang atau semasa menggunakannya.

Selain rekaan yang nipis dan ringan, Samsung turut berjaya mengurangkan kesan lipatan pada skrin. Samsung telah menggunakan teknologi engsel baru iaitu Armor FlexHinge. Engsel ini telah direka semula untuk ketahanan yang lebih baik dan struktur bawah skrin telah diubah untuk mengurangkan kesan lipatan.

Peranti ini juga terasa lebih kukuh kerana bahagian bingkai kini menggunakan binaan baru yang dipanggil sebagai Advanced Armor Aluminium. Binaan ini dikatakan 10% lebih kukuh dan lebih tahan hentakan berbanding generasi sebelumnya. Secara keseluruhan, perubahan ini berjaya meningkatkan pengalaman penggunaan ke arah yang lebih baik dalam masa yang sama menunjukkan Samsung sangat komited dalam segmen fon lipat.

Bercakap mengenai pilihan warna, peranti ini hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Blue Shadow, Silver Shadow dan Jet Black. Terdapat satu pilihan warna eksklusif yang hanya ditawarkan melalui Samsung.com iaitu Mint.
Skrin

Selain rekaan, skrin dalam dan luar pada Galaxy Z Fold7 turut menerima peningkatan dan perubahan. Skrin dalam kini bersaiz 8.0-inci manakala untuk skrin luar pula bersaiz 6.5-inci. Sebagai perbandingan, Galaxy Z Fold6 hadir dengan skrin dalam bersaiz 7.6-inci dan skrin luar pula 6.3-inci.


Kedua-dua skrin menyokong paparan adaptif 120Hz, kecerahan puncak 2600 nits dan dilindungi dengan Gorilla Glass Victus 2. Dari segi pengalaman penggunaan skrin, kedua-dua skrin ini mampu menawarkan pengalaman visual yang imersif, warna yang dihasilkan cukup baik dengan sudut pandangan yang jelas. Mungkin boleh dikatakan skrin peranti ini terbaik dan berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Selain itu, kesan lipatan pada skrin berjaya dikurangkan dan tidak lagi ketara jika dibanding dengan model sebelumnya. Struktur bawah skrin telah diubah untuk mengurangkan kesan lipatan dan lapisan Ultra-Thin Glass (UTG) yang digunakan kini 50% lebih nipis. Jika anda suka menggunakan S-Pen, perkara ini mungkin mengubah persepsi anda kerana Galaxy Z Fold7 tidak lagi menyokong S-Pen.
Prestasi

Samsung kekal menggunakan cip dari Qualcomm pada Galaxy Z Fold7. Untuk kali ini, Samsung menggunakan cip Snapdragon 8 Elite For Galaxy yang direka khas untuk memberi prestasi yang lebih baik berbanding cip Snapdragon 8 Elite yang digunakan pada pengeluar lain.

Cip ini dipadankan dengan RAM sehingga 16GB LPDDR5X dan storan dalaman sehingga 1TB UFS 4.0. Samsung mendakwa Galaxy Z Fold7 menawarkan peningkatan prestasi sehingga 38% untuk CPU, 26% untuk GPU dan 41% untuk NPU berbanding model sebelumnya.

Bukan itu sahaja, cip ini turut menawarkan keupayaan kecerdasan buatan (AI) yang lebih baik serta mampu mengendalikan pelbagai ciri AI secara terus pada peranti tanpa perlu bergantung kepada sambungan awan. Seperti yang dikatakan oleh Samsung, cip ini sememangnya mempunyai prestasi yang berkuasa sesuai untuk pelbagai tugasan dan penggunaan.
Pada percubaan dan penggunaan kami tiada sebarang masalah mengenai prestasi yang dikesan serta tiada isu kepanasan yang melampau. Semua aplikasi, tugasan atau permainan dapat dijalankan dengan lancar dan responsif.
Sistem operasi

Galaxy Z Fold7 merupakan peranti pertama yang tiba bersama dengan Android 16 dengan sistem operasi One UI 8. Masih lagi mengekalkan antaramuka yang minimalis dan mudah untuk difahami. Selain itu, ia turut membawakan beberapa penambahbaikan dan juga fungsi Galaxy AI baru yang memanfaatkan keupayaan fon lipat.

Apa yang menarik, One UI 8 berjaya mengoptimumkan kelebihan skrin pada Galaxy Z Fold7 sekaligus dapat meningkatkan lagi produktiviti pengguna. Hadir dengan pelbagai ciri baru seperti AI Results View, Drag & Drop AI dan lain-lain. Untuk AI Result View, hasil carian akan dipaparkan secara floating view atau split view manakala Drag & Drop pula membolehkan kandungan yang dijana oleh AI dikongsi secara terus dari Multi Window.

Tidak ketinggalan, semua ciri Galaxy seperti AI Translate, Writing Assist, Sketch Assist, Now Bar, Now Brief, Photo Assist, Generative Edit dan Circle to Search masih tersedia. Selain itu, Samsung turut menyertakan Google Gemini Live yang boleh diakses dengan mudah melalui butang kuasa. Dari segi kemas kini, Samsung menawarkan kemas kini sehingga 7 tahun untuk Android dan juga keselamatan untuk Galaxy Z Fold7.
Kamera

Kemampuan kamera pada Galaxy Z Fold7 juga ditambahbaik dengan sensor utama kini lebih besar iaitu 200MP berbanding 50MP pada model sebelumnya. Kehadiran sensor baru ini mampu memberikan hasil gambar yang terperinci dengan warna yang lebih terang.

Galaxy Z Fold7 hadir dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 200MP OIS + 12MP Ultra Lebar + 10MP Telefoto OIS dengan 3x zum optik. Manakala, untuk swafoto ia kini menggunakan sensor 10MP yang dimuatkan pada skrin utama dan skrin kedua. Samsung tidak lagi menggunakan kamera jenis Under Display Camera (UDC) seperti mana pada model sebelumnya.

Kemampuan kamera ini turut dibantu dengan ProVisual Engine generasi baru, menjadikan hasil imej atau video lebih jelas dan lebih teperinci. Secara keseluruhan, kemampuan kamera peranti ini sememangnya baik pada pelbagai keadaan.

Untuk keadaan dengan cahaya yang cukup, hasil imej yang diberikan baik dengan warna yang konsisten. Selain itu, imej yang dihasilkan juga terang dan perincian yang diberikan juga cukup jelas. Bagi keadaan kurang cahaya, hasil imej yang diberikan masih terang dan jelas. Bukan itu sahaja, kemampuan zum juga kini lebih baik perincian dan tona warna juga dapat dikekalkan dengan baik.

Perkara lain yang menarik mengenai kamera adalah antaramuka aplikasi kini lebih tersusun dan mudah untuk diakses dan terdapat fungsi filters yang membolehkan pengguna mengubahsuai filter. Selain itu, rakaman video kini menyokong 10-bit HDR untuk memberikan warna yang lebih realistik tidak kira pada keadaan kurang cahaya atau sebaliknya.
Bateri

Berbeza dengan rekaan yang menerima pelbagai peningkatan, untuk bateri Samsung masih mengekalkan kapaisti bateri yang sama iaitu 4000mAh dengan pengecasan 25W berwayar, 15W tanpa wayar dan 4.5W reverse wireless charger.
Namun begitu, peranti ini masih mampu menawarkan ketahanan bateri yang cukup baik. Untuk penggunaan biasa, ia mampu bertahan sepanjang hari. Namun begitu, ia bergantung kepada penggunaan mungkin berbeza bagi setiap pengguna.

Untuk pengecasan, Samsung mendakwa peranti ini mampu mengecas sehinggga 50% hanya dalam masa 30 minit sahaja. Jangka hayat bateri yang ditawarkan peranti ini boleh dikatakan agak baik namun jika Samsung menawarkan kapasiti bateri yang lebih besar dan teknologi pengecasan yang lebih pantas ia menjadikan peranti ini lebih menarik.