Close

Ulasan Samsung Galaxy Z Flip7 – Gabungan gaya dan prestasi dalam satu peranti

Samsung telahpun memperkenalkan fon lipat clamshell baru mereka iaitu Galaxy Z Flip7. Peranti ini merupakan fon lipat generasi ketujuh dan hadir dengan resipi baru untuk menjadikan ia lebih menarik berbanding model sebelumnya.

Rekaan

Selepas beberapa generasi, Samsung masih lagi menggunakan rekaan yang sama. Mungkin boleh dikatakan ini adalah identiti atau rekaan ikonik mereka. Memudahkan pengguna untuk mengetahui jenama yang digunakan namun kekuranganya adalah sukar untuk mengetahui model yang digunakan dengan lebih tepat.

Secara keseluruhan, rekaan Galaxy Z Flip7 boleh dikatakan lebih matang jika dibandingkan dengan generasi sebelumnya. Hadir dengan rekaan yang lebih nipis, ringan dan juga nampak mewah. Galaxy Z Flip7 hanya setebal 13.7mm apabila dilipat dan menjadi 6.5mm apabila dibuka sepenuhnya.

Galaxy Z Flip7 masih menggunakan rekaan body jenis berkotak dan rekaan sisi jenis rata. Tidak dinafikan, rekaan ini menjadikan peranti ini lebih selesa bila dipegang atau ketika menggunakannya. Selain rekaan yang nipis dan ringan, Samsung menggunakan teknologi engsel baru iaitu Armor FlexHinge. Engsel ini telah direka semula untuk ketahanan yang lebih baik.

Bahagian bingkai peranti ini turut ditambah baik menggunakan binaan baru dipanggil sebagai Advanced Armor Aluminium. Samsung mendakwa, binaan ini lebih kukuh dan lebih tahan hentakan berbanding generasi sebelumnya. Tidak ketinggalan, peranti ini turut menyokong penarafan IP48.

Skrin

Perubahan ketara yang mungkin anda perasan adalah pada skrin luar Galaxy Z Flip7. Hadir dengan skrin lebih besar iaitu 4.1-inci berbanding sebelumnya iaitu 3.4-inci. Skrin luar peranti ini menyokong paparan yang lebih tinggi iaitu 120Hz berbanding 60Hz.

Dengan skrin luar yang lebih besar ia memberikan pengalaman penggunaan dan visual yang lebih baik. Berikutan dari itu, pada beberapa keadaan kami lebih banyak menggunakan skrin luar berbanding skrin dalam. Namun, ia bergantung kepada aplikasi dan juga perkara yang ingin dilakukan. Apa yang boleh dikatakan, dengan sokongan skrin luar yang lebih besar ia memberi lebih banyak kelebihan.

Skrin dalaman turut ditambah baik dengan saiz lebih besar iaitu 6.9-inci berbanding 6.7-inci pada Galaxy Z Flip6. Secara kasar perubahan ini mungkin tidak dapat dibezakan namun perubahan ini boleh dikatakan agak penting untuk memberikan pengalaman skrin yang lebih imersif. Tidak dilupakan, kedua-dua skrin kini menyokong kecerahan puncak sehingga 2600 nits dan dilindungi dengan Gorilla Glass Victus 2.

Keupayaan skrin yang ditawarkan pada Galaxy Z Flip7 sememangnya sangat baik dengan warna, kecerahan dan sudut pandang yang diberikan cukup jelas. Selain itu, pengalaman menatal skrin peranti juga sangat baik dan juga responsif.

Prestasi

Tidak seperti model sebelumnya yang dikuasakan dengan cip Snapdragon, untuk kali ini Samsung membuat perubahan dengan menggunakan cip yang dibangunkan sendiri oleh mereka iaitu cip Exynos 2500. Cip ini menggunakan teknologi binaan baru iaitu 3nm yang dioptimumkan untuk peranti Galaxy.

Pada permulaan, kami beranggapan cip ini mungkin tidak sebagus cip Snapdragon. Namun, selepas menggunakannya pendapat itu meleset dan merasakan cip ini cukup bagus untuk menjalankan pelbagai tugas. Cip ini bukan sahaja lebih cekap tapi lebih berkuasa daripada generasi sebelumnya, Galaxy Z Flip6.

Secara keseluruhan, prestasi yang ditawarkan oleh Galaxy Z Flip7 sememangnya mengagumkan dengan membuka atau bertukar aplikasi terasa lancar dan responsif. Prestasi GPU dan NPU juga dipertingkat membolehkan ia bermain permainan dan menjalankan ciri AI dengan sangat lancar.

Sistem operasi

Galaxy Z Flip7 merupakan peranti pertama yang tiba bersama dengan Android 16 dengan sistem operasi One UI 8. Sistem operasi ini hadir dengan beberapa peningkatan yang lebih baik merangkumi antara muka, ciri Galaxy AI dan sebagainya.

Apa yang kami suka mengenai One UI 8 adalah antaramuka yang minimalis dan mudah untuk difahami. Jadi, tidak memerlukan masa yang panjang untuk belajar dan memahaminya. Bukan itu sahaja, One UI 8 turut dioptimumkan untuk meningkatkan lagi produktiviti pengguna. Galaxy Z Flip7 kini turut menyokong Samsung Dex yang membolehkan peranti ini menjadi stesen kerja mini yang berfungsi seperti komputer.

Keupayaan Flex Window kini lebih dinamik dan lebih berguna dengan adanya sokongan Now Bar dan Now Brief. Untuk Now Bar, ia memaparkan pelbagai aktiviti masa nyata seperti muzik, podcast, status e-hailing dan banyak lagi. Now Brief pula, memberi kemas kini harian peribadi termasuk kalendar, kesihatan, trafik dan cadangan muzik atau video mengikut kepada minat pengguna.

Semua ciri Galaxy seperti AI Translate, Writing Assist, Sketch Assist, Photo Assist, Generative Edit dan Circle to Search masih tersedia. Selain itu, Samsung turut menyertakan Google Gemini Live yang boleh diakses dengan mudah melalui butang kuasa. Samsung menjanjikan kemas kini sehingga 7 tahun merangkumi untuk Android dan juga keselamatan.

Bateri

Galaxy Z Flip7 menerima peningkatan kapasiti bateri yang lebih besar berbanding model sebelumnya. Peranti ini dimuatkan dengan bateri 4300mAh iaitu 600mAh lebih besar berbanding Galaxy Z Flip6 dengan 3700mAh.

Dengan kapasiti yang lebih besar ia menjanjikan penggunaan yang lebih panjang. Pada penggunaan kami, peranti ini mampu bertahan sepanjang hari untuk penggunaan biasa. Purata screen on time (SOT) yang ditawarkan sekitar 5 hingga ke 7 jam namun bergantung kepada penggunaan.

Jika anda mahukan penggunaan bateri yang lebih panjang, kami sarankan anda untuk mematikan atau menyahaktifkan beberapa fungsi seperti GPS, Bluetooth, Always on Display dan sebagainya. Dengan cara ini, anda boleh menikmati jangka hayat bateri yang sedikit lebih panjang.

Untuk pengecasan, Galaxy Z Flip7 menyokong pengecasan 25W berwayar, 15W tanpa wayar dan 4.5W reverse wireless charger. Samsung mendakwa, peranti ini mampu mengecas sehinggga 50% hanya dalam masa 30 minit sahaja.

Kamera

Galaxy Z Flip7 hadir dengan tetapan kamera yang sama seperti model sebelumnya. Menggunakan tetapan dwi-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 12MP Ultra Lebar dan 10MP untuk swafoto.

Teknologi ProVisual Engine generasi baru turut dimuatkan pada peranti ini. Teknologi ini menjadikan hasil imej atau video lebih jelas dan lebih teperinci. Secara keseluruhan, kemampuan kamera peranti ini sememangnya baik pada pelbagai keadaan.

Hasil imej yang diberikan cukup baik dengan warna yang konsisten pada keadaan dengan cahaya yang cukup. Selain itu, imej yang dihasilkan juga terang dan perincian yang diberikan juga cukup jelas. Bagi keadaan kurang cahaya, hasil imej yang diberikan masih terang dan jelas. Namun begitu, keupaayan zum hanya sekadar memuaskan dengan perincian kadang kala tidak dapat dikekalkan secara konsisten.

Selain itu, terdapat fungsi filters untuk menjadikan hasil imej lebih menarik. Rakaman video kini menyokong 10-bit HDR untuk memberikan warna yang lebih realistik tidak kira pada keadaan kurang cahaya atau sebaliknya.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, kami merasakan yang Galaxy Z Flip7 mungkin boleh dikatakan sebagai Galaxy Z Flip yang terbaik setakat ini. Dengan pelbagai peningkatan yang dibawakan pada peranti ini Samsung berjaya menjadikan ia lebih menonjol berbanding generasi sebelumnya.

ARTIKEL BERKAITAN