Xiaomi mengesahkan yang mereka akan memperkenalkan peranti andalan mereka yang seterusnya iaitu siri Xiaomi 17 pada bulan ini di China. Model ini sepatutnya dikenali sebagai siri Xiaomi 16, namun Xiaomi melangkau mungkin untuk mengikuti penjenamaan siri iPhone 17.

Siri Xiaomi 17 hadir dengan tiga pilihan model iaitu Xiaomi 17, Xiaomi 17 Pro dan Xiaomi 17 Pro Max. Seiring dengan ketibaannya, Xiaomi telahpun berkongsi rekaan rasmi untuk Xiaomi 17 Pro.

Peranti tersebut hadir dengan rekaan kamera belakang yang berkotak dan dilengkapi skrin sekunder yang diintergrasikan dengan modul kamera. Rekaan ini mungkin dikatakan mirip seperti iPhone 17 Pro, namun perlu diketahui bahawa rekaan ini telahpun digunakan pada Xiaomi 11 Ultra yang diperkenalkan pada 2021.

Skrin sekunder ini dijangka akan menyokong pelbagai kemampuan menarik dan sokongan widget. Selain itu turut dapat dilihat, peranti ini hadir dengan rekaan sisi jenis berkotak dan menggunakan sistem kamera Leica. Siri Xiaomi 17 dijangka akan menjadi peranti pertama dikuasakan dengan cip terbaru dari Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Elite Gen 5.
Ketika ini, Xiaomi belum lagi berkongsi maklumat terperinci mengenai spesifikasi atau ciri tambahan pada skrin sekunder. Kita mungkin boleh menjangkakan, lebih banyak maklumat akan dikongsi dari masa ke semasa.