Close

4 masalah pelik pada iPhone 17 Pro

Siri iPhone 17 telah diperkenalkan secara rasmi pada 10 September melalui acara Apple Event (Awe Dropping). Bagi pasaran Malaysia, siri iPhone 17 mula dijual pada 19 September 2025.

Selepas hampir sebulan tiba di pasaran, iPhone 17 Pro dilaporkan menghadapi beberapa masalah. Berikutan itu, kami ingin berkongsi empat masalah atau isu yang dilaporkan oleh pengguna mengenai iPhone 17 Pro.

Mudah calar (Scrathgate)

Mudah calar atau scrathgate mungkin boleh dikatakan masalah paling popular pada iPhone 17 Pro. Masalah ini lebih banyak berlaku kepada model yang lebih premium iaitu iPhone 17 Pro. Menurut pengguna, siri iPhone 17 terlalu mudah untuk terdedahkan kepada calar berbanding model sebelumnya.

Kesan calar paling ketara boleh dilihat pada warna Cosmic Orange dan juga Deep Blue. Lebih mengecewakan, jika anda mengecas menggunakan MagSafe tanpa casing peranti anda terdedah untuk mendapat kesan calar berbentuk bulat pada panel belakang. Bukan hanya calar, iPhone 17 Pro juga dikatakan mudah terdedah kepada dent berbanding model sebelumnya.

Sesetengah pengguna menyatakan kesan calar itu adalah material transfer, namun calar tesebut tidak hilang walaupun digosok. Penggunaan binaan aluminium unibody dikatakan antara penyebab kepada masalah ini. Apple mempromosikan aluminium unibody mempunyai ketahanan yang lebih baik, namun dilihat sebaliknya.

Warna berubah

iPhone 17 Pro Max dengan warna Cosmic Orange dikatakan bertukar warna kepada merah jambu secara tiba-tiba. Menurut seorang pengguna di Reddit, iPhone 17 Pro Max beliau berubah warna kepada merah jambu.

Perubahan warna tersebut dikatakan berlaku secara beransur-ansur, bermula dengan warna seakan-akan rose gold sebelum bertukar kepada warna yang lebih ketara iaitu merah jambu. Menariknya, hanya bahagian aluminium sahaja yang berubah warna, manakala panel belakang kekal dengan warna asal.

Terdapat beberapa teori yang dikaitkan dengan masalah ini antaranya pendedahan kepada haba atau radiasi, masalah proses anodising atau pewarnaan aluminium dan juga reaksi kimia daripada kulit pengguna.

Flashlight

Tidak hanya terhad kepada masalah kosmetik, perubahan kedudukan flashlight pada iPhone 17 Pro turut menimbulkan masalah yang menyebabkan kesan bayang ketara ketika mengambil gambar atau merakam video menggunakan flash.

Masalah tersebut dikatakan berpunca dari kedudukan flashlight yang diletakkan lebih jauh. Disebabkan itu, ia menjadikan kesan lampu seperti disuluh dari sudut luar bukan dari sisi kamera seperti pada model sebelumnya. Walaupun perkara ini tidak menjejaskan semua situasi rakaman, namun bagi pengguna yang suka atau kerap merakam pada jarak dekat ia mungkin sedikit mengganggu.

Logo Apple tidak selari dengan MagSafe

Seperti yang kita tahu, kedudukan logo Apple kini sedikit lebih ke bawah atau rendah pada iPhone 17 Pro. Perubahan ini menjadikan kedudukan logo Apple sedikit pelik atau tidak selari bila digunakan dengan casing MagSafe.

Terdapat pengguna mempertikaikan kedudukan logo Apple baru tidak selari dengan sistem magnet pada MagSafe. Apple dikatakan terpaksa mengubah kedudukan logo disebabkan oleh rekaan modul kamera iPhone 17 Pro yang besar.

Disebabkan masalah ini, Apple terpaksa mengubah rekaan casing MagSafe dengan meletakkan kemasan warna putih pada bahagian panel belakang.

ARTIKEL BERKAITAN