Apple dikatakan merancang untuk mengubah pelancaran iPhone 18 kepada dua fasa, sekaligus menamatkan tradisi pelancaran iPhone sekali setahun.
Menurut maklumat, Apple mungkin akan menjadualkan dua pelancaran iPhone setahun bermula dengan siri iPhone 18. Untuk fasa pertama, pelancaran dijadualkan pada musim luruh 2026 dengan memperkenalkan model premium iaitu iPhone 18 Pro, iPhone 18 Pro Max dan juga iPhone lipat pertama iaitu iPhone Fold.

Manakala untuk fasa kedua, pelancaran dijadualkan pada musim bunga 2027 dengan model yang diperkenalkan adalah iPhone 18 dan iPhone 18e. Jika laporan ini tepat, Apple mungkin akan memperkenalkan 5 hingga 6 model iPhone setiap tahun. Terdapat kemungkinan iPhone Air 2 akan turut diperkenalkan bersama iPhone 18.
Perubahan kepada dua fasa pelancaran dikatakan dapat mengurangkan tekanan kepada operasi Apple, pemasaran dan juga kejuruteraaan. Jika laporan ini tepat, ia bakal menjadi perubahan paling besar dalam strategi pelancaran iPhone.