Proton secara rasmi mengumumkan ketibaan Saga MC3 2026 yang merupakan sedan segmen A. Berbeza dengan generasi sebelumnya, Saga MC3 menawarkan pengalaman yang lebih moden, selesa dan berteknologi tinggi sekali gus menetapkan penanda aras baru untuk kereta dalam kelasnya.

Proton Saga MC3 dibina berasaskan platform AMA (Advanced Modular Architecture) dengan kerangka yang telah ditambahbaik menggunakan teknologi Hot Press Forming (HPF). Platform ini memberikan sokongan casis yang lebih baik dan membolehkan pelbagai teknologi baru dimuatkan.


Tampil dengan rekaan luar yang lebih menarik dan kemas. Gril depan diberi nafas baru dan menggunakan lampu projektor LED dan bar lampu LED pada bahagian belakang. Turut menerima perubahan ketara pada bahagian dalaman, hadir dengan reka bentuk papan pemuka serba baru yang dilengkapi dengan dwi-skrin bersepadu dengan panel skrin baru yang memuatkan kluster instrumen digital bersaiz 7-inci dan skrin infotainmen bersaiz 9-inci. Selain itu, ia turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Dikuasakan dengan enjin baru DOHC i-GT PFI 1.5 liter tanpa turbo yang mampu menghasilkan kuasa maksimum sekitar 118 hp dengan 150 Nm tork. Tidak lagi menggunakan sistem timing belt tapi diganti dengan timing chain untuk memberi ketahanan yang lebih baik. Ditawarkan dalam dua tranmisi iaitu automatik 4-kelajuan Aisin (4AT) untuk varian standard dan executive. Sementara untuk varian premium ia menggunakan tranmisi CVT.

Proton Saga MC3 dijual pada harga bermula RM38,990 untuk varian standard, RM43,990 untuk varian executive dan RM48,990 untuk premium. Ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Snow White, Armour Silver, Space Grey, Ruby Red dan Deep Marine Blue. Sempena ketibaannya, Proton menawarkan rebat bernilai RM1000 menjadikan harga jualan untuk Saga MC3 bermula pada RM37,990.