Proton melalui acara Proton Tech Showcase, telah memperlihatkan kereta hibrid pertama mereka iaitu e.MAS 7 PHEV.

Malangnya, pada acara tersebut tiada maklumat terperinci yang dikongsi oleh Proton mengenai e.MAS 7 PHEV. Namun begitu, model ini dijangka akan membawa spesifikasi dan teknologi yang hampir sama seperti model Geely Starray EM-i.

Jika merujuk kepada Geely Starray EM-i, model ini dibina melalui platform Global Intelligent New Energy Architecture (GEA) yang dikuasakan dengan sistem hibrid pintar EM-i yang menggabungkan enjin petrol dan motor elektrik.

e.MAS 7 PHEV berkemungkinan akan dilengkapi dengan enjin petrol 1.5 liter yang digabungkan dengan motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa sekitar 160 kW dan tork 262 Nm. Proton dijangka akan memperkenalkan model ini pada 2026.

Bercakap mengenai acara Proton Tech Showcase, pameran ini menghimpunkan pelbagai inovasi kejuruteraan PROTON termasuk platform GMA, bateri Short Blade, enjin dan transmisi PHEV, serta pameran teknologi AR dan AI oleh ACO Tech.

Selain itu, Proton turut memperlihatkan barisan model terkini mereka seperti Proton X50, e.MAS 5 dan Proton Saga MC3. Acara Proton Tech Showcase ini dibuka secara umum yang akan berlangsung bermula 5 hingga 7 Disember 2025.