Close

Senarai fon ‘flagship’ yang bakal masuk Malaysia

Seperti yang kita tahu, setiap tahun akan ada peranti andalan baru yang akan tiba ke pasaran tempatan. Berikutan dari itu, kami ingin berkongsi senarai fon ‘flaghship’ yang bakal tiba ke pasaran Malaysia.

Siri Xioami 17

Jika anda peminat Xiaomi, Siri Xiaomi 17 mungkin menjadi peranti yang ditunggu-tunggu. Di China, siri Xiaomi 17 ditawarkan dengan empat pilihan model iaitu Xiaomi 17, 17 Pro, 17 Pro Max dan 17 Ultra. Namun, untuk pasaran tempatan mungkin hanya dua pilihan model sahaja yang akan ditawarkan iaitu Xiaomi 17 dan 17 Ultra.

Siri Xiaomi 17 menjadi peranti pertama menggunakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 dan Xiaomi masih lagi berkerjasama dengan Leica untuk menawarkan pengalaman fotografi yang lebih baik. Peranti ini telahpun dilancarkan di China pada Disember tahun lalu.

Siri Samsung Galaxy S26

Tidak seperti Xiaomi yang hanya menawarkan dua pilihan model sahaja, Samsung dijangka bakal memperkenalkan tiga pilihan model iaitu Galaxy S26, S26+ dan S26 Ultra. Terdapat laporan mendedahkan, hanya Galaxy S26 Ultra akan menggunakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5. Manakala dua lagi model iaitu Galaxy S26 dan S26+ akan menggunakan cip Exynos 2600, mengikut kepada pasaran.

Samsung telahpun menjadualkan acara pelancaran untuk siri Galaxy S26 pada 26 Febuari ini.

Siri HUAWEI Pura 90

HUAWEI turut dijangka memperkenalkan barisan baru peranti andalan mereka. Empat pilihan model akan diperkenalkan iaitu Pura 90, 90 Pro, 90 Pro Max dan 90 Ultra. Siri Pura 90 dikatakan hadir dengan rekaan serba baru dengan modul kamera yang berbeza.

Menurut maklumat, siri Pura 90 akan menggunakan cip yang berbeza, cip Kirin 9020 akan digunakan pada Pura 90, cip Kirin 9030 pula digunakan pada Pura 90 Pro dan Pro Max dan model paling premium iaitu Pura 90 Ultra akan dikuasakan dengan cip Kirin 9030 Pro.

Siri iPhone 18

iPhone mungkin boleh dikatakan sebagai model yang pasti akan tiba ke pasaran tempatan. Namun begitu, ketibaan siri iPhone 18 mungkin akan dipisahkan kepada dua fasa. Fasa pertama, model Pro akan diperkenalkan sekitar September 2026 manakala fasa kedua untuk model standard yang akan diperkenalkan pada 2027.

Menurut beberapa sumber, tiada perubahan rekaan yang ketara pada siri iPhone 18. Perubahan ketara lebih terarah kepada kemampuan kamera pada model Pro. Selain itu, siri iPhone 18 berkemungkinan hadir dengan modem sendiri iaitu Apple C2.

Siri Google Pixel 11

Peranti dari Google dijangka akan turut tiba ke pasaran tempatan. Seperti biasa, tiga pilihan model akan diperkenalkan iaitu Pixel 11, Pixel 11 Pro dan Pixel 11 Pro XL. Seperti mana siri iPhone 18, siri Pixel 11 juga dikatakan tidak membawakan perubahan yang ketara dari segi rekaan.

Peningkatan yang dijangka akan dibawakan pada siri Pixel adalah dikuasakan dengan cip Tensor G6, menyokong pengecasan pantas 45W dan menggunakan modem dari MediaTek M90.

Siri vivo X500

Siri X500 bakal menjadi peranti andalan dari vivo yang akan tiba ke pasaran Malaysia. Malangnya, tiada banyak maklumat mengenai peranti yang didedahkan buat masa ini. Siri vivo X500 dijangka akan kekal menggunakan cip andalan dari MediaTek iaitu 9600.

Menariknya, peranti ini bakal menjadi peranti pertama hadir dengan dua kamera 200MP dan berkemungkinan menggunakan sistem pengimejan baru. Selain itu, peranti ini akan dimuatkan dengan kapasiti bateri yang lebih besar 7000mAh ke atas.

Siri OPPO Find X10

Seperti kebiasaan, OPPO akan memperkenalkan dua pilihan model untuk pasaran tempatan iaitu Find X10 dan Find X10 Pro. Siri OPPO Find X10 mungkin hadir dengan dua pilihan cip Qualcomm atau MediaTek, namun OPPO cenderung untuk menggunakan cip dari MediaTek.

Kerjasama antara OPPO dan Hasselblad masih diteruskan untuk memberi pengalaman fotografi yang lebih baik. OPPO dijangka akan menawarkan kapasiti bateri yang lebih besar iaitu 8000mAh.

Siri HONOR Magic9

HONOR dijangka akan memperkenalkan dua pilihan model iaitu Magic9 dan Magic9 Pro. Namun, untuk pasaran tempatan HONOR kebiasaannya hanya menawarkan satu pilihan model sahaja iaitu Magic9 Pro.

Jika merujuk kepada model sebelumnya, siri HONOR Magic hanya ditawarkan dengan satu pilihan cip sahaja iaitu Snapdragon. Seperti model andalan yang lain, HONOR dijangka akan turut hadir dengan kapasiti bateri yang lebih besar 8000mAh.

Terdapat beberapa lagi peranti andalan yang dijangka akan turut tiba ke pasaran tempatan antaranya iQOO 16, RedMagic 12 dan Nubia Z90.

ARTIKEL BERKAITAN