Close

Siri Xiaomi 17 diperkenalkan – Guna cip Snapdragon 8 Elite Gen 5, bateri 7500mAh dan kamera Leica

Siri Xiaomi 17 akhirnya diperkenalkan sekaligus menggantikan model semasa iaitu siri Xiaomi 15. Model ini, sepatutnya menggunakan nama siri Xiaomi 16, namun Xiaomi melangkau untuk mengikuti penjenamaan siri iPhone 17.

Siri Xiaomi 17 tiba dengan tiga pilihan model iaitu Xiaomi 17, Xiaomi 17 Pro dan Xiaomi 17 Pro Max. Merupakan pengeluar pertama dan terawal yang menggunakan cip terbaru dari Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Elite Gen 5.

Model paling premium dalam siri ini adalah Xiaomi 17 Pro Max, hadir dengan skrin jenis rata AMOLED bersaiz 6.9-inci LTPO 120Hz. Turut menyokong Dolby Vision dengan kecerahan puncak 3500 nits. Terdapat skrin kedua yang diletakkan pada panel belakang bersaiz 2.9-inci AMOLED 120Hz.

Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang digabungkan dengan 16GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman sehingga 1TB UFS 4.1. Dimuatkan dengan bateri 7500mAh yang menyokong pengecasan 100W berwayar dan 50W tanpa wayar.

Menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 50MP Ultra Lebar + 50MP Telefoto dengan 5x zum optik dan swatofo 50MP. Kemampuan kamera ini turut dibantu dengan sistem kamera dari Leica. Peranti ini menyokong penarafan IP68, pengimbas cap jari ultrasonik, IR Blaster dan pembesar suara jenis stereo.

Untuk Xiaomi 17 Pro, ia berkongsi spesifikasi yang sama seperti Xiaomi 17 Pro Max namun dalam saiz yang lebih kompak. Perbezaan ketara adalah pada saiz skrin dan kapasiti bateri. Dilengkapi dengan skrin AMOLED LTPO bersaiz 6.3-inci dengan paparan 120Hz dan terdapat skrin kedua yang diletakkan pada panel belakang bersaiz 2.7-inci AMOLED 120Hz. Dimuatkan dengan bateri 6300mAh yang menyokong pengecasan 100W berwayar dan 50W tanpa wayar.

Manakala untuk Xiaomi 17, ia hadir dengan skrin bersaiz 6.3-inci LTPO OLED dengan paparan 120Hz. Tidak seperti Xiaomi 17 Pro dan Pro Max, model ini tidak dilengkapi dengan skrin kedua di bahagian belakang. Turut dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang digabungkan dengan RAM sehingga 16GB LPDDR5X dan storan dalaman sehingga 1TB UFS 4.1.

Dimuatkan dengan bateri 7000mAh yang turut menyokong pengecasan pantas 100W berwayar dan 50W tanpa wayar. Menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 50MP Ultra Lebar + 50MP Telefoto dengan 5x zum optik dan swafoto 50MP. Peranti ini menyokong penarafan IP68, pengimbas cap jari ultrasonik, IR Blaster dan pembesar suara jenis stereo.

Siri Xiaomi 17 hadir dengan sistem operasi baru iaitu HyperOS 3 yang berasaskan Android 16. Sistem operasi ini hadir dengan rekaan yang lebih minimalis dengan ikon dan status bar serba baru. Ciri paling menarik yang diperkenalkan adalah Super Island, memaparkan maklumat masa nyata seperti media, notifikasi, status aplikasi dan lain-lain.

Di China, siri Xiaomi 17 dijual pada harga bermula sekitar CNY4499 (RM2659) dan mencapai sehingga CNY 6999 (RM4137). Tidak dapat dipastikan adakah peranti ini akan turut tiba ke pasaran tempatan atau sebaliknya.

ARTIKEL BERKAITAN