Samsung Galaxy S26 Ultra hadir sebagai peranti andalan terbaru daripada Samsung. Tampil dengan pelbagai peningkatan yang menarik dari segi prestasi, kamera dan sebagainya. Berikut adalah lima ciri menarik menjadikan ia antara peranti andalan paling menonjol untuk tahun ini.
Privacy Display

Galaxy S26 Ultra menjadi peranti pertama hadir dengan teknologi Privacy Display. Teknologi ini membolehkan skrin fon hanya boleh dilihat dengan jelas oleh pemilik sahaja. Sekali gus, menghalang pengguna atau orang sekeliling dari melihat kandungan pada skrin. Teknologi ni berbeza dengan pelindung skrin jenis matte yang sentiasa gelap sepanjang masa.

Apabila ciri ini diaktifkan, sudut pandangan pada skrin akan menjadi sangat terhad, paparan kelihatan gelap atau kabur dari bahagian sisi. Ciri ini tersedia dalam dua tahap perlindungan iaitu tahap pertama mod standard dan tahap kedua dikenali sebagai maximum privacy protection, mengehadkan sudut lihat dengan lebih agresif untuk keselamatan maksimum.

Menurut Samsung, ciri ini direka untuk memberikan pengguna ruang peribadi walaupun berada di tempat awam. Pengguna boleh menetap ciri ini pada aplikasi tertentu dan boleh memilih jenis perlindungan seperti semasa menaip kata laluan atau apabila menerima notifikasi.
Horizontal Lock

Galaxy S26 Ultra hadir dengan sistem kamera yang dipertingkat bagi memberikan pengalaman fotografi dan videografi yang lebih mudah serta berkualiti tinggi. Berikutan dari itu, Samsung hadir dengan ciri horizontal lock bagi memastikan komposisi kekal stabil walaupun dipusingkan sehingga 360 darjah.
Ciri ini sangat berguna ketika merakam aktiviti luar seperti berbasikal, hiking atau ketika merakam video sambil berjalan di laluan yang tidak rata. Selain itu, ia turut membantu mengekalkan komposisi video yang konsisten tanpa memerlukan gimbal atau peralatan tambahan.
Bixby

Pembantu maya Samsung iaitu Bixby kini lebih pintar dan lebih memahami setiap arahan yang diberikan. Lebih menarik, pengguna boleh menggunakan gaya bahasa harian untuk setiap arahan tidak lagi memerlukan arahan yang bersifat skema atau terlalu tepat.

Sebagai contoh, bila anda mengatakan ‘sound is to low’, Bixby akan menaikkan kelantangan suara secara automatik. Bukan itu sahaja, Bixby berkebolehan untuk mencari maklumat melalui web, aplikasi atau peranti. Namun begitu, buat masa ini Bixby hanya menyokong arahan dalam bahasa Inggeris sahaja.
Circle to Search

Circle to Search mungkin boleh dikatakan sebagai ciri kegemaran atau paling kerap yang kami gunakan. Menariknya, ciri ini telah dinaik taraf bagi membolehkan ia mengenal pasti pelbagai objek secara serentak dalam satu gambar.

Sebagai contohnya, kalau anda membulatkan gambar model pakaian, ia akan mengenal pasti baju, seluar, hingga ke kasut sekali gus dalam satu carian. Berbeza dengan sebelum ini, ia hanya mengenal pasti satu objek sahaja dalam sesuatu masa.
Now Nudge

Ciri baru yang diperkenalkan oleh Samsung ini boleh dikatakan sangat menarik. Ciri ini berbeza dengan AI sebelum ini yang perlu menunggu arahan dari pengguna sebelum melakukan sebarang tugas.

Now Nudge bekerja secara automatik apabila mengesan arahan, memberikan cadangan secara automatik berdasarkan situasi semasa. Sebagai contoh, jika rakan meminta gambar dari percutian baru-baru ini, peranti akan mencadangkan gambar berkaitan dari galeri tanpa memerlukan anda mencarinya sendiri. Bukan itu sahaja, ia juga boleh mengenal pasti mesej berkaitan mesyuarat dan menyemak jadual dalam kalendar.