Qualcomm dilaporkan bakal membuang sejumlah pekerja mereka di seluruh dunia dalam usaha untuk membina budaya kerja yang berasaskan kepada prestasi tinggi.
Menurut laporan, pekerja yang terlibat akan mula menerima notis pemberhentian sekitar November ini iaitu selepas proses penilaian tahunan pekerja selesai. Walau bagaimanapun, Qualcomm masih belum mendedahkan jumlah pekerja yang bakal terjejas disebabkan oleh keputusan tersebut.

Setakat September lalu, Qualcomm menyatakan yang mereka mempunyai kira-kira 52,000 pekerja di seluruh dunia. Langkah ini dibuat untuk membina budaya kerja berprestasi tinggi serta menangani situasi pekerja berulang kali gagal memenuhi jangkaan syarikat.
Keputusan ini hadir ketika Qualcomm berdepan dengan masalah kelembapan jualan elektronik pengguna dan tekanan terhadap permintaan pasaran, susulan kenaikan harga memori. Dalam masa yang sama, Qualcomm sedang memperluaskan perniagaan mereka ke sektor pusat data AI dan menjangkakan majoriti penjualan cipnya datang daripada perniagaan selain telefon pintar menjelang 2027.