Close

Sistem Amaran Kecemasan diperkenalkan – Ujian amaran akan dilaksanakan pada 29 November ini

Sistem Amaran Awal Nasional yang kini dikenali sebagai MySiren telahpun diperkenalkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

MySiren diperkenalkan bagi membolehkan maklumat mengenai bencana dan ancaman keselamatan dapat disampaikan kepada oranga ramai dengan lebih pantas dan juga berkesan. MySiren menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan mesej kecemasan dihantar terus kepada telefon pintar yang serasi melalui rangkaian 4G dan 5G, dalam kawasan geografi yang ditetapkan.

Dengan teknologi ini, amaran boleh disampaikan dalam tempoh kurang daripada satu minit kepada peranti yang berada di kawasan terjejas. Antara situasi kecemasan yang boleh melibatkan penggunaan sistem ini termasuk banjir, tsunami, cuaca buruk, kebakaran besar, kejadian melibatkan bahan berbahaya serta ancaman keselamatan awam.

Menariknya, MySiren tidak perlu dimuat turun sebagai aplikasi tambahan atau mendaftar untuk menerima amaran kecemasan. Selain itu, MySiren tidak memerlukan data atau sambungan internet untuk menerima amaran kerana ia bergantung kepada keserasian peranti yang menyokong teknologi CBS.

Apabila amaran dikeluarkan, MySiren akan memaparkan amaran dengan jelas pada skrin yang disertakan dengan getaran dan bunyi untuk menarik perhatian. Berikutan dari pengenalan ini, ujian penerimaan amaran MySiren akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negara pada 29 November 2026, antara 10.10 pagi hingga 10.30 pagi.

Pengguna dan orang ramai yang menerima notifikasi amaran sepanjang tempoh tersebut tidak perlu panik kerana ia merupakan sebahagian daripada pengujian sistem, bukannya amaran kecemasan sebenar. Sehubungan dengan itu, pengguna disarankan untuk memastikan peranti menggunakan versi sistem operasi yang ditetapkan serta mengaktifkan tetapan amaran kecemasan untuk menerima notifikasi MySiren.

(Sumber)

ARTIKEL BERKAITAN