Close

BYD Flash Charging tiba di Malaysia – Cas 10% ke 70% hanya 5 minit

BYD Malaysia secara rasmi memperkenalkan teknologi pengecasan pantas BYD Flash Charging di Malaysia, yang menjanjikan pengalaman pengecasan kenderaan elektrik (EV) sepantas mengisi petrol.

Teknologi ini diperkenalkan secara global pada awal tahun ini dan mampu menawarkan pengecasan DC sehingga 1,500kW (1.5MW). Dengan teknologi ini, ia mampu mengecas dari 10% ke 70% hanya dalam masa 5 minit manakala dari 10% ke 97% pula mengambil masa sekitar masa 9 minit. Kemampuan ini, menjadikan sistem pengecasan ini antara yang terpantas yang pernah diperkenalkan.

Untuk menampung keperluan kuasa yang sangat tinggi tanpa membebankan grid elektrik tempatan, setiap stesen Flash Charging turut dilengkapi sistem Battery Energy Storage System (BESS). BYD Flash Charging ini menggunakan rekaan pengecas berbentuk “T” yang membolehkan kabel pengecas dialihkan ke kiri atau kanan mengikut kepada kedudukan EV. Rekaan ini berbeza berbanding kebanyakan pengecas EV sedia ada di Malaysia.

Selain itu, BYD Flas Charging turut menggunakan sistem pengurusan kabel ‘Zero Gravity’ bagi memastikan kabel pengecas kekal bersih dan tidak menyentuh lantai. Buat masa ini, terdapat tiga stesen Flash Charging yang telah mula beroperasi iaitu di tiga pusat pameran DENZA iaitu di Balakong, Glenmarie dan Old Klang Road.

BYD menyasarkan untuk mempunyai 12 stesen Flash Charging beroperasi menjelang akhir 2026, sebelum memperluaskan rangkaian tersebut kepada 130 stesen pengecasan di seluruh Malaysia menjelang akhir 2027.

(Sumber)

ARTIKEL BERKAITAN