Close

Ulasan Samsung Galaxy S26 FE – Pengalaman ‘flagship’ pada harga mampu milik

Siri FE (Fan Edition) diperkenalkan untuk memberi pengguna lebih banyak pilihan dalam masa yang sama merapatkan jurang antara siri pertengahan Galaxy A dan siri andalan Galaxy S. Bukan itu sahaja, siri FE turut membawakan pengalaman penggunaan seperti peranti andalan dengan harga yang lebih berpatutan.

Rekaan dan skrin

Samsung masih mengekalkan rekaan sama yang juga identiti kepada siri Galaxy S26 dengan bingkai aluminium rata dan bucu yang sedikit membulat. Walau bagaimanapun, terdapat perubahan kecil pada bahagian panel belakang yang menggunakan kemasan jenis berkilat berbanding jenis kesat pada model sebelumnya.

Selain itu, modul kamera kini hadir dengan kemasan lut sinar untuk memberi sedikit kelainan kepada reka secara keseluruhan. Pada bahagian, Samsung menggunakan skrin jenis rata dengan bezel yang agak nipis serta kamera swafoto jenis punch-hole.

Samsung Galaxy S26 hadir dengan tiga pilihan warna Blueberry, Graphite dan Pistachio. Dari segi ketahanan, peranti ini menyokong penarafan IP68 membolehkan ia bertahan daripada habuk serta air sehingga 1.5 meter selama 30 minit.

Samsung Galaxy S26 FE hanya setebal 7.4mm dengan berat sekitar 193 gram sahaja. Dengan rekaan yang nipis dan ringan peranti memang terasa selasa biarpun digunakan dalam waktu yang panjang. Dilengkapi dengan skrin Dynamic AMOLED 2X bersaiz 6.7 inci dengan resolusi FHD+ serta paparan 120Hz.

Skrin peranti ini turut menyokong kecerahan puncak sehingga 1900 nits dan juga HDR10+ untuk memberi pengalaman skrin yang lebih baik. Sepanjang pengunaan kami, skrin peranti ini sememangnya cukup terang dengan warna serta perincian kekal jelas walaupun digunakan di bawah cahaya matahari.

Skrin peranti ini dilindungi dengan Gorilla Glass Victus+ bukan Gorilla Glass Victus 2 yang digunakan pada Galaxy S26. Tidak ketinggalan, terdapat pilihan mod skrin yang boleh dipilih oleh pengguna antara Vivid dan Natural mengikut citarasa masing-masing.

Spesifikasi dan prestasi

Galaxy S26 FE dikuasakan dengan cip yang lebih berkuasa iaitu Exynos 2500 peningkatan daripada Exynos 2400 yang digunakan pada generasi terdahulu. Cip ini dibina menggunakan teknologi 3nm dan mempunyai konfigurasi 10 teras yang dipadankan dengan GPU Xclipse 950.

Ditawarkan dengan beberapa pilihan storan iaitu 128GB, 256GB dan 512GB yang dipadankan dengan RAM LPDDR5X 8GB. Peranti ini turut menyokong fungsi virtual ram yang membolehkan pengguna memilih kapasiti tambahan antara 2GB hingga 8GB atau menyahaktifkan sepenuhnya.

Prestasi pada peranti ini sememangnya cukup baik untuk digunakan dalam apa jua tugasan atau tujuan. Dalam penggunaan harian seperti membuka aplikasi media, menonton kandungan atau membuat suntingan prestasi pada perant ini memang sangat lancar dan tiada sebarang masalah yang dihadapi.

Untuk permainan, peranti ini mampu menawarkan pengalaman bermain yang baik untuk permainan yang berintesiti tinggi dan ia boleh dimainkan pada tetapan pertengahan dan ke atas. Selain itu, tiada masalah kepanasan melampau yang dikesan sepanjang penggunaan kami.

Selain itu, tiada masalah kepanasan melampau yang dikesan sepanjang penggunaan kami. Namun, apa yang kami perasaan apabila suhu peranti meningkat kadar FPS menunjukkan penurunan tetapi ia tidak memberi kesan ketara pada permainan.

Sistem operasi dan penggunaan

Galaxy S26 FE menjalankan sistem operasi terbaru dari Samsung iaitu One UI 9 yang berasaskan kepada Android 17, menyokong kemas kini sehingga tujuh tahun untuk Android dan keselamatan. Sistem operasi ini hadir dengan beberapa peningkatan seperti antaramuka yang lebih menarik serta kemampuan AI yang lebih baik.

Samsung turut membawakan beberapa ciri AI daripada siri Galaxy S26 ke dalam peranti ini. Antara ciri yang ditawarkan seperti Document Scan buang kesan lipatan, kedutan dan cap jari pada dokumen yang diimbas. Photo Assist membolehkan pengguna menyunting gambar dengan menggunakan arahan teks. Ciri yang paling kami suka adalah Horizontal Lock dan My FanCam, untuk horizontal ia membantu memastikan rakaman video kekal dalam keadaan menegak dan stabil walaupun telefon digerakkan atau dipusingkan.

Manakala untuk MyFan Cam, ia mampu mengesan dan menjejaki individu tertentu dalam video berkumpulan secara automatik yang dikuasakan dengan fungsi Galaxy AI. Ciri ini memberikan lebih fleksibiliti kepada pengguna untuk menghasilkan video yang lebih menarik tanpa perlu menetapkan fokus ketika merakam. Akhir sekali, terdapat juga ciri Audio Eraser yang membolehkan bunyi latar belakang yang tidak diingini dibuang atau dipadam supaya suara dan bunyi penting dapat didengar dengan lebih jelas.

Bateri dan kamera

Galaxy S26 FE dimuatkan dengan bateri 4900mAh kapasiti yang sama seperti model sebelumnya. Menyokong pengecasan pantas 45W berwayar dan 15W tanpa wayar. Peranti ini mampu mengecas dari 0% ke 69% hanya dalam masa sekitar 30 minit dan pengecasan penuh mengambil masa sekitar 60 minit.

Secara keseluruhan, ketahanan bateri pada peranti ini boleh dikatakan cukup baik untuk peranti dengan kapasiti bateri sebesar itu. Jadi, untuk penggunaan harian peranti ini mampu menawarkan penggunaan sepanjang hari tanpa sebarang masalah.

Walau bagaimanapun, jika dibandingkan dengan pesaing lain, ketahanan atau kapasiti bateri pada Galaxy S26 FE boleh dikatakan agak ketinggalan. Ketika ini, kebanyakan pesaing menawarkan kapasiti bateri yang lebih besar sekaligus menawarkan tempoh penggunan yang lebih panjang.

Galaxy S26 FE menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 12MP telefoto + 8MP ultra lebar dan 12MP untuk swafoto. Untuk pengalaman fotografi, situasi dengan pencahayaan yang cukup, kamera utama mampu menghasilkan gambar dengan perincian yang jelas, julat dinamik yang baik serta warna yang kelihatan semula jadi.

Kamera telefoto juga mampu memberikan hasil yang baik ketika mengambil gambar jarak jauh, dengan pemprosesan imej membantu mengekalkan perincian gambar. Sementara itu, kamera ultra lebar turut menunjukkan prestasi yang memuaskan, termasuk ketika mengambil gambar dalam keadaan cahaya rendah dengan bantuan Night Mode.

Untuk rakaman video, kamera utama menyokong resolusi sehingga 8K pada 30fps, manakala kamera hadapan menyokong rakaman 4K pada 60fps. Samsung turut memperkenalkan fungsi Super Steady dengan Horizontal Lock yang mampu mengekalkan kedudukan video secara mendatar walaupun telefon dipusing sehingga 360 darjah.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, Galaxy S26 FE boleh dianggap sebagai peranti yang menarik dengan pengalaman hampir setaraf peranti andalan. Selain itu, spesifikasi, fungsi AI dan sokongan kemas kini yang panjang menjadikan penawaran peranti menjadi lebih lengkap.

Namun, peningkatan yang sedikit berbanding generasi sebelumnya menjadikan peranti ini dilihat sukar menjadi pilihan dalam kalangan pengguna sedia ada. Walau bagaimanapun, peranti ini masih mampu menarik peminat pengguna baru yang mahu merasai ekosistem Samsung tanpa perlu berbelanja lebih.

ARTIKEL BERKAITAN