Perkara pertama yang perlu dilakukan selepas membeli iPhone baru adalah mengemas kini perisian terlebih dahulu sebelum menggunakannya. Namun, perkara tersebut mungkin tidak lagi perlu dilakukan selepas ini.
Menurut Bloomberg, Apple bakal memperkenalkan peranti khusus yang membolehkan iPhone yang dibeli di Apple Store dikemas kini tanpa perlu nyahkotak. Kemas kini ini dilakukan secara tanpa wayar dengan meletakan iPhone di atas peranti. iPhone tersebut akan dihidupkan, dikemas kini secara automatik dan dimatikan selepas proses selesai.
Dengan adanya peranti khusus ini, Apple dijangka akan dapat menyelesaikan masalah pepijat sekaligus membolehkan pengguna menggunakan iPhone baru secara terus tanpa perlu melakukan kemas kini. Peranti khusus ini dijangka akan mula tersedia di Apple Store pada penghujung tahun ini.