Sebuah set kepala AR/VR iaitu Vision Pro adalah produk baru yang Apple lancarkan pada acara WWDC 23 baru-baru ini dan mendapat respon yang baik dari peminat Apple kerana kebolehannya yang luar biasa berbanding set kepala AR/VR lain.
Namun disebalik itu, Apple juga turut menyatakan bahawa ketahanan bateri Vision Pro hanya mampu bertahan hingga 2 jam sahaja penggunaan. Bateri juga perlu digunakan secara berasingan melalui sambungan wayar terus ke Battery Pack.
Jika dibandingkan dengan set kepala AR/VR yang lain seperti jenama Meta, Pico dan HTC, ketahanan bateri yang biasanya akan dapat dicapai adalah sekitar 2 ke 3 jam sahaja. Bermakna, ketahanan bateri Apple Vision Pro juga dilihat dalam lingkungan tersebut.
Setakat ini kami tak dapat sahkan sama ada Battery Pack Vision Pro sekali dalam pakej $3499 (RM16K) atau perlu dibeli secara berasingan.
Tapi apa yang kami lihat, ia salah satu strategi bijak Apple untuk memudahkan penukaran Battery Pack jika kehabisan bateri dan masih mahu gunakannya. Mungkin ia akan turut dijual berasingan dan kita juga akan lihat jenama pihak ke-3 yang turut akan jadi alternatif lebih murah untuk Battery Pack Vision Pro.
Apple Vision Pro akan mula dijual bermula awal tahun hadapan (2024) di pasaran AS dengan harga $3499 (RM16K).