Huawei Malaysia kini sedia untuk menawarkan dua jam tangan pintar baharu untuk pasaran tempatan melalui model Huawei Watch 4 dan Huawei Watch 4 Pro. Kedua-dua jam tangan pintar ini tampil dengan rekaan yang hampir sama, tetapi dengan beberapa perbezaan kecil.
Untuk model paling premium iaitu Huawei Watch 4 Pro, ia hadir dengan skrin LTPO AMOLED bersaiz 1.5-inci dengan resolusi 466 x 466 piksel. Menggunakan bahan binaan dari Titanium gred Aeroangkasa pada tubuh peranti yang dipadankan dengan tali kulit berwarna coklat gelap. Peranti ini turut dilindungi dengan pelindung skrin Spherical Sapphire Glass 2.
Dari segi ciri kesihatan dan kecergasan, peranti ini dimuatkan pelbagai ciri seperti pemantauan kadar degupan jantung, ECG, SpO2, pemantauan tidur, tahap stress harian dan menyokong lebih dari 100 mod sukan secara terbina. Untuk ketahanan bateri, Huawei Watch 4 Pro tampil dalam dua mod berbeza, untuk mod standard ia mampu bertahan 4.5 hari dan mod ultra-batery life mode ia mampu bertahan sehingga 21 hari.
Manakala untuk Huawei Watch 4, ia tampil dengan rekaan dan spesifikasi yang sama, namun dibezakan dengan beberapa perkara seperti bahan binaan dari Stainless Steel dan kemasan tali dari Flouroelastomer yang berwarna hitam.
Turut menyokong ciri kesihatan dan kecergasan yang sama seperti Huawei Watch 4 Pro. Untuk ketahanan bateri, Huawei Watch 4 turut tampil dalam dua mod berbeza, untuk mod standard ia mampu bertahan selama 3 hari dan mod ultra-batery life mode ia mampu bertahan sehingga 14 hari.
Spesifikasi lain yang turut dibawakan pada kedua-dua peranti adalah seperti NFC, Bluetooth 5.2, pembesar suara, mikrofon, penarafan 5 ATM, penarafan IPX6 dan menyokong eSim.
Di Malaysia, siri Huawei Watch 4 ditawarkan pada harga bermula RM1999 untuk model standard dan RM2499 untuk Pro. Bagi yang berminat, kedua-dua jam tangan pintar ini boleh dibeli melalui di semua pengedar rasmi Huawei atau secara dalam talian.